Cadangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah pentadbiran Parlimen, disambut baik Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr. Ong Kian Ming.

Menurut Kian Ming, ia akan memberi ruang yang lebih luas serta membolehkan badan integriti itu melakukan siasatan dengan bebas.

"SPRM sepatutnya dijadikan sebagai satu suruhanjaya yang bebas, di mana mereka boleh mengupah jawatan dan pekerja mereka sendiri dan laporan terus kepada parlimen itu memang kita akan sokong.

"Buat masa ini yang penting sekali adalah dengan memberikan lebih kuasa dan juga kebebasan kepada SPRM dan siasatan yang dijalankan mereka tidak dikacau ganggu atas alasan yang tidak munasabah," katanya, yang ditemui selepas membuat pembentangan di sesi perbincangan politik kaum di Malaysia anjuran Pergerakan Kesederhanaan Global GMM di Petaling Jaya.

Kian Ming dalam pada itu menafikan dakwaan terdapat usaha yang digerakkan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebaliknya pembangkang hanya inginkan ketelusan siasatan yang dijalankan.

"Pembangkang menyeru supaya ketelusan dan maklumat yang benar diberikan kepada rakyat Malaysia tentang isu 1MDB dan juga berkenaan derma yang diberi kepada Datuk Seri Najib, itu sahaja yg kami nak buat masa ini," ujarnya.

Pada Ahad, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan kononnya beliau dan beberapa pemimpin parti pembangkang bersekongkol ingin menjatuhkan Najib dalam isu 1MDB.