Dua kotaraya di Vietnam, Ho Chi Minh dan Hanoi, digelar kota berbelanja murah. Dari barangan kelengkapan dapur hingga ke kain untuk dipadankan di badan sendiri, semuanya dijual dengan harga lebih berbanding di tempat-tempat lain di negara ini.

Kaum wanita khususnya akan rambang mata apabila memasuki Benh Tanh Market, letaknya di Ho Chi Minh. Bayangkan kain lace sepanjang dua meter di Malaysia, harganya boleh mencecah ratusan ringgit, tetapi di pasar ini, harganya cuma RM40 semeter atau lebih rendah jika pandai tawar menawar.

Sebuah lagi lokasi - Dong Xuan Market, letaknya di Hanoi, juga mirip Benh Tanh Market. Kebanyakan barangan di sini dijual dengan harga yang sangat berpatutan, malah lebih rendah berbanding kota biaya rendah di negara Asean lain.

Dong Xuan Market adalah sebuah pasar tertutup yang terletak di dalam bangunan empat tingkat dengan barangan jualan yang pelbagai. Ditubuhkan sejak tahun 1889, bangunan dengan gaya seni bina Soviet ini juga adalah pasar tertutup yang terbesar di Hanoi. Selain fabrik, antara barangan lain yang diniagakan di sini adalah hasil segar, aksesori, barangan elektronik dan perkakasan rumah.

Nguyen Vanh Bienh, peniaga tekstil wanita yang ditemui Astro AWANI di Dong Xuan Market. Terletak di tingkat dua, kedai kecil Bienh menjual pelbagai jenis fabrik sejak hampir tujuh tahun lalu. Pelanggannya terdiri daripada peminat tekstil dari serata negara Asia, paling ramai dari Malaysia.

"Pelanggan ramai, dan hari ini sahaja, sudah lebih 10 orang warga Malaysia datang ke kedai ini dan membeli kain secara borong. Malah, ada juga sebelum ini yang menempah melalui atas talian. Saya terima Ringgit Malaysia (RM), tidak kisah jika pelanggan mahu gunakan dolar Amerika, malah tidak menolak jika mereka berhasrat menggunakan Vietnam Dong,'' katanya.

Dr Azlinariah Abdullah bersama Nguyen Vanh Bienh (kanan), peniaga tekstil wanita di Dong Xuan Market. - Foto Astro AWANI

Perkongsian yang didedahkan Bienh itu secara matematiknya dapat difahami begini:

Kos pembelian baju kurung dari Vietnam lebih murah. Kadar keuntungan yang diperolehi juga berbaloi.

"Contohnya baju kurung fabrik kapas cetakan tema Inggeris dibeli pada harga RM30-40 sepasang di Vietnam dijual di butik di Malaysia antara RM100-RM200. Baju kurung dan kebaya pilihan material mosscrepe dibeli pada harga RM40-RM60 dijual antara RM180-RM300.

Koleksi fabrik renda bagaimanapun agak mahal kerana penghasilannya memerlukan gabungan fabrik lain sebagai pelapik dalam seperti sifon dan satin.

Penguasa pakaian termasuk dari Malaysia datang ke sini pada hujung minggu hanya untuk membeli secara borong dengan menjualnya pada harga yang boleh mengaut untung berlipat kali ganda.

Pada lapis lain, Perjanjian Perdagangan Bebas Vietnam-Kesatuan Eropah (EVFTA) yang ditandatangani pada 30 Jun lalu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 2 peratus kepada lebih 3 peratus.

Peningkatan itu akan dinikmati Vietnam bagi tempoh kini hingga 2023 dan dijangka terus meningkat kepada 7 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sementara itu, peratusan bagi eksport Vietnam ke EU akan meningkat daripada 20 kepada 44 peratus disebabkan penghapusan tarif bagi hampir 100 produk utama Vietnam sebaik sahaja perjanjian perdagangan bebas itu berkuatkuasa.

Salah satu sektor yang dijangka berkembang pesat susulan pelaksanaan EVFTA adalah industri tekstil dan pakaian Vietnam.

Sudah pasti perkembangan-perkembangan ini membuka jalan kepada lebih banyak limpahan wang mengalir dari Kuala Lumpur ke Hanoi dan sebaliknya.

Ia menjadi lebih relevan dengan lawatan kali pertama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Hanoi bermula Isnin, di mana antara lain asasnya ialah meneroka bidang-bidang kerjasama antara dua hala terutamanya dalam pelaburan, pertanian, teknologi, elektronik, kebudayaan dan pendidikan.

Vietnam adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia, di mana pada tahun 2018, nilai dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan sebanyak AS$13.3 bilion.

Nilai eksport Malaysia ke Vietnam pula mencecah AS$8.48 bilion, sementara import dari Vietnam berjumlah AS$4.77 bilion.

Untuk rekod, Malaysia adalah rakan dagang yang ke-11 terbesar bagi Vietnam, manakala Vietnam pula adalah rakan dagang yang ke-13 terbesar bagi Malaysia di dunia dan ke-4 terbesar dalam ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia.

Malaysia merupakan negara pelabur ke-8 terbesar di Vietnam dengan pelaburan berjumlah AS$12.48 bilion di akhir tahun 2018.

Nilai dagangan dua hala ini disasarkan pada angka AS$15 bilion pada 2020.

"Kita optimis angka AS$15 bilion itu realistik dan boleh dicapai. Ia antara lain akan dirangsang oleh lawatan pertama Perdana Menteri ke Hanoi, Vietnam selama tiga hari hingga Rabu ini,'' kata Duta Malaysia ke Vietnam Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa sebelum ini.