Lautan manusia, terutama media, memenuhi perkarangan istana kecil milik keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tenang, namun semua tidak sabar menanti ucapan pertama Pemimpin Umum PKR itu.

Laungan 'Reformasi' menyambut ketibaan Anwar di Bukit Segambut kira-kira jam 1.40 petang.

Kemesraan sosok berusia 70 tahun itu tetap terserlah, masih sempat melayani permintaan untuk mengambil 'selfie' daripada anggota keselamatan yang mengiringinya sewaktu satu upacara bersurai ringkas sebelum memulakan sidang media yang disiarkan secara langsung di Saluran 501 Awani, Facebook Live dan Digital TV http://www.astroawani.com/live-tv

"Dari penjara ke istana."

Itu kata-katanya tatkala menggambarkan tuah dirinya yang mendapat pengampunan tanpa syarat dari Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V .

Pengampunan itu bermakna apa sahaja rekod kesalahan yang dicatat sebelum ini, terpadam tanpa ada secalit kesan pun.

Anwar, sebaik dibebaskan dari Pusat Rehabilitasi Cheras pagi tadi, sempat mengadap Sultan Muhammad V selama sejam di Istana Negara.

"Saya dan keluarga berterima kasih di atas pengampunan yang diberikan baginda. Ia memberi makna yang cukup besar buat kami," ujarnya.


Pelbagai soalan diajukan, namun antara yang paling mendapat perhatian adalah kerjasama beliau bersama Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang selama ini cukup dinanti-nantikan.

"Apa sahaja konflik yang pernah timbul, semuanya sudah berakhir. Apa yang penting kini adalah negara ini.


"Kami sama-sama berkorban demi kesejahteraan dan kemajuan negara. Saya menghormati apa yang dilakukan Tun Mahathir, dan saya akan memberi sokongan penuh terhadap beliau dalam usahanya memulihkan Malaysia," katanya.

LAPOR LANGSUNG PEMBEBASAN ANWAR IBRAHIM


Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana perjuangan 20 tahun untuk mendapat kebebasan, akhirnya membuahkan kemanisan yang cukup berbaloi dinikmati.


Turut hadir menemani Anwar dalam sidang media itu ialah Timbalan Menteri yang juga isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali. Turut bersama ialah anak-anaknya, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.

Sebelum itu, Nurul Izzah sempat berkongsi gambar keluarga bertemu dengan Anwar di Istana Negara.

Nurul turut memuat naik foto beliau menjamu nasi kerabu untuk juadah sarapan pagi bersama Anwar, Wan Azizah dan adik perempuannya di Istana Negara.