Dasar baharu untuk bidang strategik pelaburan langsung asing (FDI) akan diumumkan pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata antaranya, dasar itu akan merangkumi dasar pelaburan pusat data dan e-dagang.

"Kami akan mengadakan sesi sumbang saran pada awal tahun depan dan apabila kami bersedia kami akan mengumumkannya kepada agensi yang berkaitan," katanya kepada pemberita pada Siri Persidangan Modal Affin Hwang 2018 di sini pada Khamis.

Ong berkata dasar baharu untuk bidang strategik FDI merupakan antara lima strategi bagi 2019 yang disenaraikan oleh MITI.

Strategi lain ialah menginstitusikan hubungan perdagangan dan ekonomi dengan China untuk sama-sama meningkatkan pelaburan strategik dua hala.

Terdahulu, dalam pembentangan beliau, Anggota Parlimen Bangi itu berkata syarikat China antara sumber FDI terbesar di negara ini, dengan RM9.51 bilion dicatatkan dalam tempoh lapan bulan pertama 2018, diikuti Indonesia (RM8.99 bilion), Belanda (RM7.67 bilion), AS (RM2.94 bilion) dan Korea Selatan (RM2.45 bilion).

Beliau berkata kebanyakan syarikat China yang beroperasi di Malaysia berada dalam dua kategori: penggiat global tetapi dengan proses dalaman yang masih sempit, dan syarikat di peringkat tempatan dalam peringkat awal ke luar negara.

Dua jenis syarikat ini yang berpangkalan di sini akan mengambil masa untuk menjadi global dan dimodenkan, katanya, sambil menambah syarikat China global dengan operasi di sini termasuk Huawei dan Alibaba.

"Strategi lain ialah strategi "mencari, mendapatkan dan meraih" untuk misi perdagangan dan pelaburan atau TIM, yang membawa kepada potensi pelaburan hampir RM3 bilion dari Jepun dan Korea Selatan semasa TIM Menteri Datuk Darell Leiking pada Oktober 2018.

"Kami juga akan turun padang untuk mempromosikan inisiatif pembiayaan, terutamanya untuk Industri 4.0," katanya.

Beliau berkata kerajaan, semasa membentangkan Belanjawan 2019, mengumumkan peruntukan sebanyak RM210 juta dari 2019 hingga 2021 untuk menyokong peralihan dan penghijrahan ke Industri 4.0.

MITI akan membantu 500 pertama perusahaan kecil dan sederhana untuk melalui Penilaian Kesediaan bagi beralih kepada platform Industri 4.0 melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia.

-- BERNAMA