Dasar Keusahawanan Nasional - Komponen strategik memacu Malaysia menjadi negara makmur

Dasar Keusahawanan Nasional - Komponen strategik memacu Malaysia menjadi negara makmur
Perdana Menteri meletakkan keyakinan apabila Malaysia mencapai matlamat Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030 menerusi pelan DKN2030. - Foto oleh Mohsein Shariff

KETIKA pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 pada 11 Julai lalu, YAB Perdana Menteri menegaskan pentingnya dasar keusahawanan nasional menjadi tonggak pemberdayaan usahawan dalam menggerakkan ekonomi negara. Tun Mahathir Mohamad juga menekankan tentang gagasan ‘Kemakmuran Bersama’ (Shared Prosperity) dalam ucaptama beliau sebagai satu agenda utama pembangunan nasional dan berharap DKN2030 mampu membentuk semangat keusahawanan yang jitu, bukan sahaja dalam kalangan para usahawan, malahan seramai mungkin rakyat Malaysia.

Perdana Menteri meletakkan keyakinan apabila Malaysia mencapai matlamat Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030 menerusi pelan DKN2030 ini, limpahan ekonomi akan turut membawa kesan positif kepada wawasan ‘Kemakmuran Bersama’. Ia akan menjadi manifestasi kesungguhan kerajaan dalam mengalas agenda Malaysia Baharu yang inklusif dengan keadilan ekonomi yang saksama untuk semua kaum.

Foto oleh Mohsein Shariff

Dalam mengerakkan kerangka DKN2030 - Malaysia Negara Keusahawanan Unggul 2030, adalah penting kerjasama yang kolektif wujud di antara pihak kerajaan dan semua pihak berkepentingan agar perlaksanaan strategi dan inisiatif yang digariskan di bawah DKN2030 memberi impak kepada ekosistem keusahawanan yang dibina. Seluruh komuniti usahawan mesti menggembleng tenaga membina ekosistem keusahawanan ideal yang selari dengan DKN2030 supaya segala bentuk aktiviti keusahawanan yang dilaksanakan menjurus kepada persekitaran yang melahirkan usahawan berjaya.

Selain akses kepada pasaran; elemen-elemen ideal lain yang harus ada dalam ekosistem keusahawanan wajar dipacu sepenuhnya oleh komuniti keusahawanan merangkumi pembinaan budaya keusahawanan, peningkatan kemahiran dan pengetahuan keusahawanan serta menggalakkan penglibatan usahawan dalam bidang berinovasi dan berkepakaran teknologi. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan pula seharusnya mengambil mandat menerajui usaha mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif dengan penekanan kepada halatuju dasar dan polisi kerajaan serta menjadi tonggak kepada sokongan infrastruktur dan pembiayaan kewangan kepada usahawan.

DPIM telah menyuarakan maklumbalas jujur ketika kunjungan rasmi kepada YAB Perdana Menteri selepas 4 hari DKN2030 dilancarkan serta turut berpeluang mengusulkan pandangan-pandangan konstruktif dan membentangkan kertas cadangan untuk menyokong dasar kerajaan tersebut. Sebagai dewan perdagangan yang memayungi komuniti usahawan Islam, DPIM bersedia menawarkan sumbang bakti dalam menjayakan pelbagai strategi dan inisiatif di dalam DKN2030.

DPIM berkeyakinan dalam membina budaya keusahawanan dan meningkatkan pengetahuan keusahawanan, para usahawan wajar dilatih dan diselia oleh mentor-mentor dari pemain industri sendiri yang telah melalui perit jerih dunia keusahawanan dan mampu memberi panduan dan nasihat terbaik agar kesilapan dan kegagalan mereka tidak diulangi.
 

Dalam mendepani era persaingan ekonomi global dan ledakan arus perubahan teknologi yang berkait langsung dengan Industri 4.0. para usahawan juga perlu diterapkan dengan ruh berbisnes agar cekal

dalam mengharungi segala cabaran dan rintangan perniagaan. Semangat urusniaga secara berjemaah dengan meletakkan redha Ilahi sebagai asas berbisnes perlu ada di dalam sanubari setiap usahawan mengatasi seluruh tuntutan nafsu-nafsi dan prinsip kapitalis. Ini merupakan antara intipati kertas cadangan Program Pembangunan dan Pemakmuran Usahawan Muslim Negara (PEMAKMUR) 2020-2023 DPIM kepada kerajaan sebagai mengimbangi peranan yang dimainkan pihak kerajaan melalui kementerian dan agensi bertanggungjawab.

Berbekalkan dengan keupayaan membina ruh keusahawanan dan bisnes di kalangan ahli dengan menanamkan kekuatan motivasi, DPIM menyediakan modul latihan untuk membina lebih ramai usahawan yang mengejar kejayaan perniagaan menerusi konsep Jihad Bisnes yang berpegang dengan falsafah ‘Al yadul ulya khairun minal yadis suflaa’ (HR Muslim) ertinya: Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. DPIM berkeyakinan sumbangan kecil melalui PEMAKMUR ini akan memberi impak yang besar sekaligus mampu diduplikasi kepada lebih banyak kumpulan usahawan untuk melahirkan 40 syarikat multi billion muslim negara menjelang tahun 2050.

Ini merupakan komitmen DPIM dalam mengisi makna ‘kemakmuran bersama’ sebagai satu perjuangan Jihad Ekonomi kerana pengakhirannya adalah sebuah ekosistem keusahawanan yang memartabatkan ekonomi Islam halal dan thoyyibban serta memakmurkan seluruh rakyat Malaysia selain turut melahirkan ramai usahawan Muslim Malaysia bertaraf global .

Dengan 6 Teras Strategik utama, 19 Strategi dan 62 inisiatif, DKN2030 adalah strategi jangka panjang pihak kerajaan yang memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan dalam semua pelan tindakan secara berkala mahupun berterusan agar pengisian 11 tahun dasar ini berupaya menjadi aspirasi kepada sebuah negara Malaysia yang lestari serta mempunyai pertumbuhan ekonomi yang progresif yang mampu diagihkan limpahan kekayaan ekonomi tersebut kepada setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan demografi.
Sumber Rujukan:

i. Kementerian Pembangunan Usahawan. (2019) Dasar Keusahawanan Nasional. Putrajaya: MED

ii. Abdul Razak Shahbudin (2019) Kertas Cadangan Program Pembangunan & Pemakmuran Usahawan Muslim Negara : DPIM

 


*Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI


 


 

 


Tag: Mahathir Mohamad, Astro Awani, Putrajaya, usahawan, Malaysia, Perdana Menteri, rakyat Malaysia, Muslim, menteri, rakyat, ekonomi, Mohsein Shariff, Kolumnis AWANI, DPIM


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.