Dasar Perumahan Negara 2018-2025 akan dilancarkan pada 8 Januari depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata, dasar yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan memfokuskan kepada beberapa perkara, lapor Bernama.

Ia termasuk kualiti rumah, aksesibiliti, penambahbaikan skim pembiayaan perumahan, penyediaan kemudahan yang sempurna dan pembangunan 'pengurusan data' bagi rujukan di masa depan.

"Di bawah dasar ini pula terdapat sub dasar iaitu Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang dikhususkan untuk membantu kategori B40 dan M40 memiliki rumah sendiri yang selesa," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Zuraida berkata di bawah sub dasar ini, antara yang difokuskan ialah kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membina lebih banyak rumah mampu milik dan memastikan kos pembinaannya adalah minimum.

Turut diberi penekanan ialah standard keluasan rumah, iaitu mesti 900 kaki persegi ke atas dengan harga serendah RM150,000 ke bawah.

Dalam pada itu, Zuraida berkata KPKT kini dalam usaha melaksanakan rasionalisasi entiti perumahan, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) diletakkan di bawah kementerian itu.

"Kita sedang 'lakukan' satu 'usaha wajar' bagi memastikan penyerahan aset ini nanti dengan keadaan sempurna.

"Walau apapun namanya selepas ini, sasaran KPKT tidak berubah iaitu membina satu juta rumah mampu milik dalam masa 10 tahun," katanya.

Sementara itu, menjawab mengenai Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, Zuraida berkata kajian tiga tahun kebolehlaksanaannya akan turut mengambil kira kegusaran Dr Mahathir iaitu ketiadaan keseimbangan dari segi perwakilan.

"Antara pendekatan kajian kebolehlaksanaan ini ialah dengan membuat perbandingan model Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang dilaksanakan di seluruh dunia.

"Seterusnya menghasilkan satu model baharu yang mengikut acuan dan landskap demografi rakyat Malaysia dengan mengambil kira faktor polarisasi antara kaum sama ada di bandar dan luar bandar," katanya.