Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Dasar PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara - PM

Dasar PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara - PM
PPSMI telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 2002, sebelum mula dilaksanakan secara penuh di seluruh negara pada 2008. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemangku Menteri Pendidikan itu berkata, Sains dan Matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini.
“Ia (Sains dan Matematik) datang dari luar ... kebanyakannya datang ke negara ini melalui medium Bahasa Inggeris dan atas sebab itu kita akan menggunakan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik.

“Itu bermaksud kita tidak akan mengelirukan rakyat kerana kita mendapati mereka yang belajar Sains dalam Bahasa Melayu sukar untuk mendapatkan pekerjaan di tempat Bahasa Inggeris digunakan,” katanya kepada pegawai Kementerian Pendidikan dalam satu mesyuarat tertutup di Putrajaya, Khamis.

Bercakap lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai beberapa idea untuk dilaksana dalam sistem pendidikan negara, walaupun beliau sedar ada di antaranya tidak mudah dipersetujui ramai pihak.

"Tetapi saya merasakan perlu untuk melaksanakan beberapa perkara ini bagi memastikan anak-anak kita dapat membesar, dan mampu menyelesaikan masalah yang akan dihadapi mereka sewaktu dewasa kelak. Itulah tujuan sebenar pendidikan.

"Seperti yang anda tahu, rakyat negara kita adalah berbilang kaum. Ia mungkin menjadi masalah kepada kita, tetapi juga ia adalah sesuatu yang boleh menyumbang ke arah pembangunan negara kita," katanya.

Dr Mahathir berkata, secara faktanya, pembangunan negara ini adalah hasil toleransi dan kerjasama erat antara kaum di negara ini.

"Jika negara tidak stabil, dan peperangan tercetus, anda boleh berhenti berbicara tentang soal pembangunan. Segala-galanya akan ditumpukan untuk berbunuh sesama sendiri dengan lebih efisyen. Dan pembunuh itu yang akan jadi pemenang," katanya lagi.

Dasar PPSMI telah dipersetujui Jemaah Menteri yang ketika itu dipengerusikan Dr Mahathir , pada 2002, sebelum mula dilaksanakan secara penuh di seluruh negara pada 2008.

Bagaimanapun, ia telah dimansuhkan secara berperingkat pada 2012 setelah mendapat kecaman beberapa pihak termasuk parti politik, ibu bapa, dan cendekiawan.

Namun, Bahasa Inggeris masih terus menjadi bahasa pengantar di peringkat Universiti, Matrikulasi dan Tingkatan Enam.

Sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara, Dr Mahathir dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa dasar itu berkemungkinan besar akan dikembalikan, dalam usaha meningkatkan ilmu pengetahuan generasi baharu serta mempercepatkan usaha menjadikan Malaysia negara maju dan berilmu.

Sarawak pada April, mengambil keputusan untuk menjadi negeri pertama melaksanakan kembali dasar itu pada 2019.


Tag: Mahathir Mohamad, Maszlee Malik, Sarawak, PPSMI, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Geografi, silibus pelajaran, Malaysia Baharu, Dewan Rakyat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.