Dasar Rahmatan Lil Alamin yang akan dilaksanakan kerajaan akan berpaksikan model Malaysia yang turut mengambil kira pelbagai aspek, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, antara aspek yang turut merangkumi kepada penggubalan dasar berkenaan ialah Perlembagaan Persekutuan, kepelbagaian kaum, adat dan tradisi serta demokrasi Parlimen.

"Turut diambil kira ialah isu yang mempengaruhi amalan Islam dalam konteks amalan yang negatif dari luar. Sebab itu model Malaysia itu meletakkan definisi macam mana yang akan menentukan dasar itu berpandukan kepada realiti.

"Ia akan menentukan apakah dasar yang sesuai kita amalkan tanpa kita hilang prinsip. Ia amat anjal mengikut konteks tempatan tapi selagi ia tidak bercanggah dengan prinsiplah," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas sesi Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan 2019 di sini, pada Selasa.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, barisan Exco Kerajaan Negeri dan 300 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan.

Negeri Sembilan adalah negeri terakhir daripada enam buah negeri yang telah dilaksanakan sesi Town Hall mengenai Maqasid Syariah, bagi tahun ini.

Mengulas mengenai maklumbalas daripada orang bukan Islam yang turut menghadirinya, Mujahid berkata ia sangat memberangsangkan malah ada di antara mereka telah faham mengenai falsafah di sebalik dasar itu, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Mujahid dalam sesi penjelasan menyatakan bahawa dasar berkenaan dirangka dengan baik dan menyeluruh, adalah kesinambungan daripada dasar terdahulu seperti Islam Hadhari dan Wasatiyyah.

"Dasar hari ini dasar yang kita namakan dasar Rahmah, lahir bukan sahaja kerana keperluan dalam negara bahkan global. Hari ini Islam berada dalam dua persepsi ekstrem iaitu satu radikal agama dan satu lagi Islamophobia, yang lihat apa sahaja berkaitan Islam adalah negatif.

"Maka atas perkara itu, maka kita lahirkan idea Rahmatan Lil Alamin. (Dasar) Dahulu ada juga maqasid dan saya teliti maqasid itu dipanggil indeks sahaja, tetapi hari ini kami meletakkan maqasid bukan dalam konteks indeks semata-mata, tetapi maqasid sebagai kerangka berfikir untuk memastikan keputusan yang kita buat bersesuaian dengan kesan kepada masyarakat yang ada dalam Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mujahid ketika diminta mengulas mengenai isu yang tular dalam media sosial mengenai Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang didakwa tajuk yang diperdebatkan itu tidak menjaga sensitiviti Islam berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu.

"Jadi saya perlu mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kementerian Pendidikan sebab itu bawah Persekutuan, (sama ada) benar atau tidak adanya tajuk itu untuk didebat, kerana kalau ada sudah tentulah mana boleh homoseksual diterima oleh Islam.

"Daripada banyak-banyak tajuk, kenapalah itu yang dipilih. Saya tidak akan membuat apa-apa komen sehingga Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) sendiri yang akan teliti perkara itu," katanya.

Pada Selasa, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dilapor telah menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dengan kadar segera sebagai satu bentuk pengajaran kerana tidak menjaga sensitiviti beragama di Malaysia.

-- BERNAMA