Seorang suri rumah bergelar Datin yang menimbulkan kemarahan ramai kerana terlepas daripada hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan mendera amahnya pada 2016, gagal hadir ke mahkamah bagi semakan semula hukuman yang dijatuhkan.

Rozita Mohd Ali dan penjaminnya sepatutnya hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bagi mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang dibuat sebelum ini.

Apabila kedua-duanya tidak muncul, Hakim Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberi tempoh seminggu untuk pihak pendakwaan mengesan Rozita dan penjaminnya sebelum menetapkan 29 Mac untuk mendengar semula permohonan pendakwaan.

Pada 15 Mac lalu, Rozita, 44, dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Mohammed Mokhzani Mokhtar, selepas dia menukar pengakuan dan mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan teruk ke atas pekerja domestik Indonesia, Suyanti Sutrinso.

Klip video Suyanti cedera teruk dan terbaring di tepi longkang sebuah kawasan perumahan di Mutiara Damansara tular pada Disember 2016.

Dilaporkan Rozita menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, mop besi dan payung untuk menyebabkan kecederaan ke atas kepala, tangan, kaki dan organ dalaman Suyanti.

Satu petisyen atas talian menolak keputusan Mahkamah Sesyen itu mendapat hampir 70,000 tanda tangan.