Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan operasi sita bermula hujung bulan ini hingga akhir tahun 2018 ke atas premis yang mempunyai tunggakan cukai taksiran.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khairul Azmir Ahmad dalam kenyataan berkata operasi sita bermula dengan kawasan sekitar Bandar Sri Permaisuri dan Bandar Tun Razak, di sini.

Katanya lawatan ke premis yang mempunyai tunggakan telah dilaksanakan pada 5 hingga 23 Okt lepas bagi serahan surat peringatan.

"Beberapa siri operasi sita akan menyusul selepas ini di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan keutamaan adalah premis-premis yang mempunyai cukai taksiran yang tinggi," katanya.

Menurut kenyataan itu, tindakan sita dilaksanakan mengikut Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi tujuan menuntut bayaran tunggakan cukai taksiran.

Bagi premis kosong dan tiada harta mudah alih, tindakan mahkamah akan diambil sehingga premis yang mempunyai tunggakan itu disita dan dilelong selaras dengan Seksyen 151 akta sama.

Justeru, DBKL menasihatkan pihak berkaitan menjelaskan tunggakan cukai taksiran dengan segera bagi mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan.

- BERNAMA