Pegawai dan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sudah membeli rumah dengan pemaju hartanah yang ada kaitan dengan DBKL tidak dibenarkan membeli mana-mana aset baharu dalam Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, ini merupakan salah satu langkah pencegahan rasuah di bawah usaha Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan DBKL.

Menurutnya, Pasukan Petugas Khas ini sedang meneliti kesemua prosedur dan sistem yang dilaksanakan oleh jabatan di bawah DBKL.

"Semua kakitangan kerajaan sama prosedurnya. Mereka kena mengisytiharkan harta mereka.

"Kami pula memang terlibat dengan pemaju-pemaju hartanah. Jadi, kita sekarang mengeluarkan sekular bahawa mereka yang telah membeli rumah dengan pemaju yang ada kaitan dengan DBKL tidak boleh lagi membeli harta baharu," kata Mhd Amin dalam satu sidang media selepas Majlis Perbarisan Hari Penguatkuasa ke-47 2016 di sini, pada Khamis.

Setakat ini, empat jabatan sedang diteliti pasukan iaitu Jabatan Perancangan, Jabatan Perumahan, Jabatan Sumber Manusia dan Jabatan Perancang Ekonomi yang melibatkan lebih 2,000 kakitangan.

Kajian itu dibuat bagi melihat sistem dan prosedur yang diamalkan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan serta ruang penambahbaikan.

Jelasnya, mana-mana pegawai yang didapati menyalahgunakan kedudukan atau terlibat dengan penyelewengan akan dikenakan tindakan tatatertib.

Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan pada 10 September lalu terdiri daripada pegawai Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Bahagian Siasatan SPRM dan Jabatan Integriti DBKL.

Pada 9 September lalu Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 18 pertuduhan rasuah membabitkan RM2.9 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM1.5 juta.