Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yakin mampu menjadikan ibu negara sebagai bandar raya terbersih di dunia menjelang 2020.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata inisiatif melalui Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dilaksanakan sejak 2015 sudah mencapai kejayaan sebanyak 70 peratus.

"DBKL yakin baki 30 peratus lagi akan tercapai pada 2020 ini dan kita mengharapkan 11 kawasan parlimen yang terlibat akan memperoleh penarafan Gred A (bersih).

"Blueprint ini merangkumi empat peringkat dan pada masa ini sudah berada di peringkat ketiga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Apresiasi Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pelaksanaan pelan strategik yang mengambil masa selama lima tahun itu adalah sejajar dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia, bersih, indah dan selesa didiami.

"Walaupun Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara lain seperti Jepun, saya percaya dengan kerjasama daripada orang ramai ia mampu tercapai," katanya.

Pelaksanaan Blueprint itu mengambil kira lima elemen utama iaitu memperkasa organisasi, penambahbaikan infrastruktur, pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam, penguatkuasaan bersepadu dan pemakaian konsep LA 21.

-- BERNAMA