Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melihat semula keperluan sekeping tanah di Kampung Datuk Keramat yang ingin dibangunkan kondominium mewah berbanding perumahan mampu milik yang mengutamakan kepentingan rakyat setempat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, isu itu semakin meragukan kerana kelulusan diberi kepada sebuah syarikat perumahan yang baharu ditubuhkan.

"Sudah tiba masa untuk DBKL melihat semula janji pembangunan rumah mampu milik yang dibuat kepada masyarakat Kampung Datuk Keramat sebelum ini.

"Lokasi tanah ini di hujung bandar dan kawasan penempatan masyarakat," katanya.

Selain itu, Johari turut meminta DBKL supaya melihat semula kehendak masyarakat.

"Semasa hendak pindahkan orang setinggan di sini dahulu, kita sudah gunakan pemimpin untuk menyakinkan rakyat untuk berpindah sehingga buat pembinaan mewah selepas berpuluh-puluh tahun.

"Sudahlah, takkan DBKL tidak boleh tolong apa yang masyarakat di sini hendak kali ini," ujarnya.


Notis pemberitahuan projek pembinaan pangsapuri di Kampung Datuk Keramat yang tidak disenangi penduduk setempat - Gambar fail

Johari berkata demikian selepas membuat lawatan di tapak cadangan pembinaan projek perumahan kondominium mewah di Kampung Datuk Keramat yang berharga hampir RM1 juta di lokasi berkenaan.

Pembinaan itu akan menafikan hasrat penduduk yang mahu 100 peratus Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau pembinaan Rumawip di sana.

Tegas Johari, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga perlu melihat semula pemilihan syarikat pembinaan yang diberi tanggungjawab pembinaan tapak berkenaan.

"Lihat semula kelulusan yang diberi. Bukan tidak ada agensi kerajaan yang mahu membina tapak ini dengan rumah mampu milik tetapi mengapa ia tidak boleh direalisasikan untuk penduduk di sini?

"Saya difahamkan tidak ada pertemuan yang dibuat dengan penduduk di sini sebelum tapak ini mahu dibangunkan.

"Kita bukan halang pembinaan namun perlu memikirkan keperluan masyarakat di sini. Buatlah pembangunan yang bersesuaian," tegasnya.

Pada pertengahan Oktober lepas, satu perhimpunan dianjur Pengerusi Penganjur Perhimpunan Aman Himpunan NGO Penduduk Keramat, Norham Shazali yang mahu Kementerian Wilayah Persekutuan menarik balik cadangan pembinaan projek perumahan kondominium mewah di Kampung Datuk Keramat yang berharga hampir RM1 juta di lokasi berkenaan.

Tegasnya, pembinaan itu akan menafikan hasrat penduduk yang mahu Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau pembinaan Rumawip di sana.

Kira-kira 1,000 penduduk hadir pada perhimpunan aman berkenaan.