Penganjuran debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Pengerusi dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC), Tony Pua hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Namun, perkembangan terbaharu telah menimbulkan persoalan sama ada debat itu dapat direalisasikan atau tidak.

Pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak

Pada pagi Selasa, Salleh melontarkan satu cadangan supaya debat tersebut diadakan di Studio 1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tanpa penonton Jumaat ini.

Beliau berkata, RTM mencadangkan debat tersebut berlangsung selama sejam bermula jam 9 malam dan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen nasional itu.

Salleh berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

1MDB: Nur Jazlan minta Arul Kanda, Pua hentikan perdebatan terbuka


Beberapa hari kebelakangan ini, pelbagai reaksi berbeza timbul dari beberapa ahli Parlimen dari kerajaan dan juga blok pembangkang berhubung penganjuran Debat 1MDB itu.

Menurut Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Tony Pua perlu melepaskan jawatan beliau sebagai ahli PAC jika mahu berdebat dengan Arul Kanda.

Ini kerana beliau berpandangan bahawa penyiasatan PAC yang merupakan jawatankuasa di bawah Parlimen harus dikekalkan ketelusannya.

Pandikar turut berkata Arul Kanda juga perlu dilucutkan sebagai saksi dalam siasatan PAC jika ingin meneruskan debat tersebut.

Justeru katanya, jika debat itu diteruskan tanpa mematuhi syarat yang dinyatakan beliau, maka beliau sedia meletakkan jawatannya sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Pua yang merupakan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu turut bertegas yang beliau tidak akan membenarkan prosiding ke atas 1MDB terganggu akibat penglibatannya dalam debat bersama Arul Kanda.

Ini bererti beliau bersedia untuk tidak menyertai debat tersebut bagi memastikan siasatan PAC terhadap 1MDB itu dapat diteruskan.

"Saya tidak boleh membenarkan siasatan tersebut terbengkalai. Rakyat menaruh harapan kepada PAC untuk siasatan ini," kata Pua.

Katanya, beliau akan meminta penjelasan rasmi dari Pandikar Amin berhubung kenyataan beliau pagi Selasa.

Menurut Pua, setahu beliau penganjuran debat tersebut tidak menyalahi mana-mana peraturan yang termaktub di Parlimen.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin memberi pandangannya berdasarkan pemahamannya terhadap keputusan Pandikar Amin.

Namun, beliau turut berkata Pua tidak boleh membuat apa-apa kenyataaan selepas ini berhubung 1MDB.

Pihak DAP turut mempersoalkan keikhlasan menteri Kabinet BN yang telah memberi sokongan kepada penganjuran debat 1MDB tersebut.

Ahli Parlimen Seremban dan Ketua Whip DAP, Anthony Loke menegaskan beliau tidak akan mempersoalkan kenyataan oleh Speaker Dewan Rakyat.

"Tan Sri Speaker (Pandikar Amin) telah membuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada, kami faham. Namun, adakah keputusan ini tidak diketahui Menteri-Menteri BN?" soalnya.

Bagaimanakan cadangan Debat 1MDB ini tercetus?

Cadangan ini bermula selepas beliau melontarkan cabaran buat Arul Kanda pada Oktober 29 agar mengadakan satu lagi wawancara langsung bersamanya susulan program khas "Bernama TV with Arul Kanda" yang disiarkan pada Rabu.

Dalam program tersebut, Arul Kanda menegaskan tiada apa yang hendak disembunyikan dan 1MDB bukan punca nilai ringgit jatuh.

Pada mulanya, Arul Kanda memberi syarat agar Pua meletakkan jawatan sebagai ahli PAC sebelum beliau bersetuju untuk berdebat.

Selepas Pua enggan untuk berbuat demikian, pada Sabtu Arul Kanda bersetuju untuk berdebat secara langsung tanpa syarat.

Melihat kepada kesudian Arul Kanda, Pua telah menyenaraikan 10 soalan yang diberikan awal agar Arul Kanda boleh menyediakan jawapan dengan lengkap beserta dokumen.

Jelas Pua, senarai soalan tersebut akan tertumpu kepada aspek kewangan dan tiada kena-mengena dengan politik.

Buat masa ini, tiada maklumat daripada jawatankuasa itu yang digunakan dalam menyediakan soalan-soalan tersebut.