Khairy Jamaluddin mendominasi Debat AWANI yang diadakan semalam, hasil tinjauan di media sosial.

Tinjauan di Twitter Astro AWANI dan New Straits Times menunjukkan sehingga jam 11 pagi tadi, Ahli Parlimen Rembau itu memperoleh 70 peratus undian, jauh mengatasi dua pendebat lain Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Lebih 6,000 pengguna Twitter terlibat dalam undian maya ini.







Calon Presiden yang diumumkan menjawat jawatan itu sekali gus menang apabila memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah daripada 191 bahagian, hasil undian kira-kira 165,000 perwakilan.

Sekiranya kedudukan antara dua atau tiga calon teratas berkedudukan seri, makan kaedah undi popular akan digunapakai.

Lima calon sebelum ini telah diumumkan bertanding bagi jawatan nombor satu parti itu termasuk trio utama iaitu Tengku Razaleigh, Ahmad Zahid dan Khairy.

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan ialah anggota UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaluddin.

Mesyuarat perwakilan UMNO bermula 9 pagi ini serentak di 191 bahagian dengan agenda utama hanya untuk memilih barisan kepimpinan di peringkat bahagian dan majlis tertinggi bagi sesi 2018-2021.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, ia bakal menyaksikan persaingan di antara Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh calon lagi akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Seramai 106 calon pula akan bertanding merebut 25 jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi.