Setelah hampir empat jam menunggu di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz akhirnya bertemu dengan penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua pemimpin politik tersebut dilihat bersama di sebuah gerai makan di Lembah Sungai Perak dan makan semeja sambil berbual selama setengah jam pada Sabtu.

Sebelum itu, Nazri telah menunggu Dr Mahathir sejak jam 1 petang di hadapan bangunan MRSM itu sebelum mendapat tahu mantan perdana menteri itu akan ke gerai makanan tersebut sekitar jam 4.30 petang.

Nazri kemudiannya ke gerai itu dan menyambut ketibaan Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menikmati juadah minum petang.

“Saya pun sudah lama tidak berjumpa dengan Dr Mahathir. Kali terakhir berjumpa mungkin pada empat tahun lalu.

“Saya rindu juga mahu berjumpa dengan dia sebab itu saya fikir hari ini bolehlah jumpa untuk bertanya khabar.

“Saya bukan nak bertumbuk atau mahu bertinju dengan Dr Mahathir. Saya dengar dia datang tak beritahu kita, saya tahu daripada orang kampung jadi saya mahu sambut (kedatangan) dia,” kata Nazri kepada pemberita ketika ditemui di hadapan MRSM Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.