Demam denggi meningkat kepada 32,535 kes di seluruh negara daripada Januari hingga 29 Mac tahun ini berbanding 23,633 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia menunjukkan peningkatan 37.7 peratus atau 8,902 kes.

Beliau berkata negeri Selangor menyumbang 59 peratus daripada kes denggi di seluruh negara dengan mencatatkan 19,162 kes bagi tempoh yang sama dengan 52 kematian.

"Sebanyak 101 kematian dilaporkan berbanding 59 kematian dalam tempoh yang sama pada tahun 2014, iaitu peningkatan sebanyak 71.2 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi di bangunan sementara Parlimen, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, tindakan bersepadu melalui kerjasama tujuh kementerian termasuk kerajaan negeri telah diaktifkan semula bagi mengatasi masalah itu.

Katanya penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri di setiap negeri bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan denggi secara bersepadu dengan jabatan dan agensi berkaitan adalah antara enam tindakan yang telah dilaksanakan dan membawa hasil positif.

Selain itu, katanya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan Pelan Tindakan bagi memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai lokaliti tompokan panas melakukan penambahbaikan aspek kutipan sampah domestik dan pukal mengikut jadual.

Beliau berkata PBT juga perlu memastikan tapak pelupusan sampah, tanah kosong dan taman-taman awam tidak menjadi tempat pembiakan Aedes.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan aktiviti penerangan dan promosi bagi menanam sikap tanggungjawab awam dan memperbetulkan pemahaman serta salah tanggapan masyarakat bahawa tanggungjawab mengawal denggi adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata," katanya.

Muhyiddin berkata Kementerian Pendidikan juga melipatgandakan usaha bagi meningkatkan pengetahuan pelajar sekolah mengenai denggi melalui penyampaian mesej denggi semasa perhimpunan pagi serta meningkatkan peranan pelajar sebagai ejen perubahan dengan melaksanakan aktiviti 'cari dan musnah' tempat-tempat pembiakan Aedes bersama anggota keluarga di rumah.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri menyelaras dan menggerakkan pasukan beruniform seperti Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam membantu pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

Katanya penguatkuasaan Ops Gempur Tapak Binaan dilaksanakan Kementerian Kesihatan di samping menjalankan pendakwaan kes di mahkamah.

"Hasil aktiviti Ops Gempur dari 10 Feb hingga 14 Mac tahun ini mendapati sebanyak 95 daripada 111 tapak binaan yang diperiksa mempunyai pembiakan nyamuk Aedes dan kesemua pesalah akan didakwa di mahkamah. Sebanyak 80 tapak binaan telah diberi perintah penutupan," katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Kesihatan turut menjalankan aktiviti kawalan kaedah baharu iaitu 'Outdoor Residual Spray' (ORS) melibatkan 103 kawasan tompokan panas sejak 11 Feb lalu di daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang.

Muhyiddin berkata Kementerian Kesihatan juga melaksanakan aktiviti promosi kesihatan melalui penglibatan aktiviti masyarakat secara besar-besaran dan menggunakan media sosial bagi tujuan itu.

Beliau berkata kementerian itu juga meningkatkan kerjasama dengan syarikat swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat dalam melaksanakan aktiviti pencegahan denggi melibatkan pelajar.

"Walaupun kes denggi telah menunjukkan trend penurunan pada masa ini dengan anggaran 2,000 kes seminggu, satu mekanisme atau strategi pencegahan yang lebih efektif perlu dilaksanakan agar momentum pengurangan kes denggi ini dapat dikekalkan," katanya.

Beliau berkata tindakan pencegahan dan kawalan denggi hendaklah dijalankan secara berterusan oleh semua pihak termasuk komitmen semua lapisan masyarakat dan pihak berkaitan adalah amat penting bagi menjayakan usaha mengurangkan kes dan kematian akibat demam denggi.