Tutup

Demam denggi menurun kepada 1,300 kes minggu lepas - Subramaniam

Demam denggi menurun kepada 1,300 kes minggu lepas - Subramaniam
MELAKA: Demam denggi menurun kepada kira-kira 1,300 kesdi seluruh negara minggu lepas berbanding 2,500 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam Ahad.

Beliau berkata penurunan sebanyak 1,200 kes itu berikutan pelbagai usaha Kementerian Kesihatan dalam mengawal pembiakan nyamuk Aedes terutama di kawasan berisiko.

Namun, katanya wabak denggi masih belum dapat ditangani sepenuhnya masa ini kerana sikap rakyat terhadap isu itu masih di tahap rendah.

"Kesedaran rakyat tentang wabak ini amat tinggi tetapi mereka tidak ubah sikap (untuk mencegah wabak itu). Ia memerlukan usaha yang jitu dari pelbagai pihak terutama masyarakat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan cakera padat 'Tirupugal' yang mengandungi 22 lagu keagamaan Hindu di sini, hari ini.
Menurutnya sehingga kini, sebanyak 25,000 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan 63 kematian dicatatkan sejak Januari lepas.

Dr Subramaniam berkata selaras dengan ancaman penyakit itu, tema 'Gigitan Kecil, Ancaman Besar' dipilih bagi sambutan Hari Kesihatan Sedunia esok.
Beliau berkata tema itu bertepatan dengan pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengubah cara hidup dan sikap rakyat negara ini dalam membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Tahun lepas dan tahun ini, wabak denggi merebak dengan begitu besar bukan sahaja di Asia Tenggara tapi di kawasan yang lain termasuk di kawasan Caribbean. Situasi itu berlaku disebabkan perubahan iklim dunia dan jenis virus yang menyebabkan penyakit ini menular dengan pantas," katanya.

Sehubungan itu, Dr Subramaniam akan melakukan lawatan ke kawasan industri di negara ini bagi memantau pembiakan nyamuk Aedes dan kes demam denggi.

Beliau berkata semua pejabat daerah kesihatan dan negeri turut disaran menganjurkan pelbagai program sempena sambutan tersebut selaras dengan usaha kerajaan mengubah persepsi rakyat terhadap wabak itu.