'Air! Air! Air!,' teriak sekumpulan kira-kira 100 pemuda sambil mengetuk-ngetuk baldi sedang mereka berarak menuju ke bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.

Sepanduk kad manila tertera tulisan antaranya 'Kami Jadi Mangsa', 'Sabotaj atau Gagal Urus?' dan 'Air Yilek! ('tiada' dalam bahasa Tamil) turut dijulang sepanjang demonstrasi itu.

Mereka diketuai Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah bagi menyatakan bantahan terhadap kemelut air di Selangor yang didakwa berpunca daripada sabotaj oleh pihak Barisan Nasional.

Media dimaklumkan acara bermula pada jam 9 pagi, bagaimanapun pada jam 10.45 pagi baru peserta berkumpul dan ucapan pembukaan disampaikan.


Sesampainya kumpulan demonstrasi anjuran Pemuda BN Selangor itu di hadapan pagar bangunan SUK yang dirantai dan dikawal sepasukan polis, sorakan 'air' semakin kuat.

Pagar digoncang, botol air malah baldi yang dibawa turut berterbangan, dilempar peserta-peserta yang hilang sabar.

"Kami mahu Azmin sendiri turun, tak mahu dia hantar pegawai mahupun kakitangan SUK sebagai wakil untuk terima memorandum bantahan dari kami!" teriak Armand di hadapan pagar.

Kira-kira sepuluh minit kemudian, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap tidak memunculkan diri.

Bagaimanapun, setiausaha politiknya yang juga ADUN Sri Muda, Suhaimi Shafiei yang turun dan Armand serta beberapa orang kanannya dibenarkan melepasi pagar untuk menyerahkan memorandum bantahan.

Antara yang dituntut adalah Menteri Besar bertanggungjawab menyelesaikan segera kemelut air yang sekian lama menyulitkan sebahagian besar penduduk Selangor tanpa perlu menuding jari kepada pihak lain.

"Kalau kita tengok pada hari ini tiada pencemaran, tiada sabotaj.

"Kita desak apa yang diperkatakan Menteri Besar bahawa ada individu atau pihak tertentu atau parti tertentu mensabotaj sungai di dalam negeri Selangor, kita desak pihak polis soal siasat Menteri Besar Selangor dan buktikan bahawa ianya dilakukan UMNO dan Barisan Nasional," tegas Zainuri dalam satu sidang media selepas demonstrasi bersurai.

Katanya lagi, pencemaran yang menjurus kepada masalah bekalan air bersih di Selangor sebenarnya berpunca daripada kegagalan tadbir urus kerajaan negeri yang membiarkan kilang-kilang berdekatan sungai serta aktiviti mengorek pasir di sungai beroperasi secara berleluasa.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan pada Isnin mengesahkan tidak berlaku sebarang pelepasan bahan kimia dan tercemar ke Sungai Buah sehingga menyebabkan penutupan loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih seperti yang didakwa Mohamed Azmin sebelum ini.

Pengarahnya, Norhazni Mat Sari berkata daripada 59 kilang yang berada di seluruh Nilai, hanya 14 kilang melepaskan sisa ke Sungai Buah dan kesemuanya mematuhi syarat yang ditetapkan JAS.

Dalam tempoh lebih kurang sebulan, lebih daripada lima kali LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup ekoran pencemaran yang tidak diketahui dari mana puncanya, menyebabkan lebih 1 juta pengguna terbeban ekoran kesulitan yang timbul daripada penutupan itu.

"Kita dah lihat banyak lakonan, hentikanlah sandiwara ini kerana kita tidak mahu rakyat terseksa," ujar Zainuri.