Demonstrasi bantah kekejaman ke atas masyarakat Rohingya

Demonstrasi bantah kekejaman ke atas masyarakat Rohingya
Tunjuk perasaan hari ini menyaksikan etnik Rohingya bersama-sama saudara seIslam di negara ini melaungkan bantahan terhadap peristiwa berdarah di Rakhine. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ribuan masyarakat Rohingya dan rakyat tempatan mengadakan demonstrasi secara aman di beberapa tempat di negara ini untuk membantah kekejaman yang dilakukan ke atas masyarakat Islam di wilayah Rakhine, Myanmar.

Sambil meneriak slogan-slogan anti-Myanmar, mereka membawa sepanduk ketika berarak sejauh kira-kira tiga kilometer dari masjid di Jalan Ampang ke Kedutaan Myanmar di Jalan U-Thant, di sini selepas solat Jumaat untuk menyerahkan beberapa nota bantahan kepada pegawai kedutaan.

Terdapat lebih 40,000 pelarian Rohingya di negara ini dan bilangan masyarakat Rohingya yang menyertai demonstrasi itu adalah lebih ramai daripada rakyat tempatan.

Mereka mendesak Myanmar menghentikan kekejaman terhadap etnik Rohingya.

"Kami menyerahkan nota bantahan 11 muka mendesak Naypyidaw (ibu negara Myanmar) untuk menghentikan tindakan itu," kata ketua Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos selepas perhimpunan itu.

"Kami akan menghantar memorandum kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu jika Myanmar tidak mengambil tindakan segera," kata Amir Amsaa Alla Pitchay, pemimpin sebuah lagi NGO iaitu Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia.
Suara-suara rakyat Malaysia yang menentang kekejaman terhadap Rohinya juga kedfengar di Melaka apabila Presiden Dunia Melayu Dunia Islam Tan Sri Mohd Ali Rustam menggesa ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan UN supaya mengambil tindakan segera untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Myanmar.

Beliau berkata apa yang berlaku di Myanmar sekarang adalah pencabulan ekstrem hak asasi manusia terhadap Rohingya terutama wanita dan kanak-kanak.

"Kami telah memperakukan dalam konvensyen DMDI minggu lepas mengutuk kerajaan Myanmar kerana pembunuhan masyatakat Islam Rohingya di Myanmar dan tindakan harus diambil untuk menghentikan pembunuhan dengan segera.

"DMDI menggesa kerajaan Myanmar menghentikan pencabulan hak asasi manusia dan pembunuhan masyarakat Islam Rohingya," kata beliau kepada Bernama.

Beberapa media melaporkan bahawa anggota kumpulan etnik minoriti menghadapi ancaman dibunuh, dirogol sementara rumah-rumah dan kampung mereka dibakar, menyebabkan ribuan terpaksa melarikan diri.

Di Pulau Pinang, beratus-ratus orang memenuhi jalan di George Town unuk menyuarakan bantahan mereka mengenai layanan kerajaan Myanmar ke atas Rohingya.

Mereka berarak dari Masjid Melayu Lebuh Acheh ke Masjid Kapitan Kling selepas solat Jumaat sambil membawa kain rentang dan sepanduk mengutuk kekejaman yang berlaku di Myanmar.

Turut menyertai perarakan itu ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Mereka mengecam ikon demokrasi Myanmar dan Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi kerana membisu dan gagal bertindak untuk menghentikan apa yang mereka sifatkan sebagai "penghapusan etnik Rohingya" di Rakhine.

Terdahulu, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dengan sebulat suara meluluskan usul mengutuk kekejaman yang dilakukan ke atas masyarakat Rohingya.

Beberapa demonstrasi secara kecilan juga diadakan di luar masjid-masjid lain di seluruh negeri , membawa mesej yang sama dengan harapan penghapusan etnik dihentikan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Dr Yusri Mohamad berkata kekejaman yang dilakukan ke atas Rohingya bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia tetapi juga tidak berperikemanusiaan.

Beliau juga menyeru umat Islam di negara ini supaya menyokong usaha-usaha untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya yang tertindas.

Dr Yusri berkata kerajaan Myanmar harus membenarkan badan seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam serta media melawat negara itu untuk memantau situasi.

Khutbah solat Jumaat hari ini tertumpu kepada doa bagi keselamatan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.

-- BERNAMA