Kerajaan negeri akan meneruskan program Dermasiswa Pendidikan Yayasan Perak bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah, meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sehingga kini kerajaan negeri telah membantu meringankan beban lebih 14,000 pelajar sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009.

Beliau berkata bantuan berkenaan diberikan kepada pelajar khususnya anak Perak daripada keluarga berpendapatan rendah bagi menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana Muda Profesional.

"Sekiranya ada pelajar yang perlukan bantuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan kolej diiktiraf, boleh maklumkan bagi kita bantu melalui peruntukan yang ada.

"Kadar dermasiswa adalah RM300 (Sijil/Matrikulasi), RM500 (Diploma), RM1,000 (Ijazah Sarjana Muda) dan RM1,200 (Ijazah Sarjana Muda Profesional) dan bantuan akan diberikan secara langsung kepada pelajar," katanya.

Zambry berkata demikian pada sidang media selepas menutup Program Perkhemahan Pemimpin Pelajar Amanjaya (Mahasiswa Perak) 2017 di Outward Bound School, di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan 100 mahasiswa Perak yang juga wakil pelajar dari pelbagai Universiti Awam di Seluruh Malaysia mengikuti perkhemahan tiga hari bermula 17 Mac lepas.

Terdahulu, Zambry meluangkan masa hampir dua jam dalam sesi soal jawab bersama kesemua pelajar tersebut merungkai pelbagai isu termasuk aspek pembangunan dan pendidikan negeri Perak.

-- BERNAMA