Dewan Diraja Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berhubung pertukaran agama oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dewan Diraja Selangor dalam satu kenyataan di sini, hari ini menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan dan fitnah semata-mata.

Sehubungan itu, Dewan Diraja Selangor melahirkan rasa dukacita berhubung kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menerusi akaun Facebooknya mengenai perkara itu.

"Setelah membaca kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik tersebut, Dewan DiRaja Selangor berpendapat dan merumuskan bahawa kenyataan tersebut berbaur hasutan dan mempunyai unsur-unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor.

"Dewan DiRaja melahirkan kekesalan kerana beliau (Abdul Rahim) tiada langsung mengambil sebarang langkah untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang posting yang dibuat oleh portal-portal luar sebelum memberi pendapat dan komen beliau.

"Adalah amat mudah bagi beliau untuk membuat semakan bagi menentukan kebenaran berita berkenaan sekiranya beliau mempunyai sifat tanggungjawab," katanya kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, posting tersebut telah diviralkan pada tahun lepas dan penafian telah dibuat oleh Ketua Polis Negara di akhbar-akhbar berikutan dengan satu laporan polis yang dibuat oleh pihak istana.

"Tindakan Abdul Rahim memberi komen terhadap berita palsu ini dirasakan sengaja dilakukan dengan niat jahat (dishonest intention) bagi mencemar dan mempersoalkan akidah Raja Muda Selangor sebagai seorang Islam dan secara langsung menyatakan Raja Muda Selangor telah murtad.

"Akibat dari komen beliau (Rahim Thamby Chik) ini terdapat banyak respon dan komen yang dibuat oleh orang ramai terutama umat Islam yang menunjukkan kemarahan, kebencian, cacian mereka terhadap Raja Muda Selangor dan Sultan Selangor," ujarnya.

Dewan Diraja Selangor turut menyifatkan kenyataan Abdul Rahim yang menyatakan Sultan Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Pope di Vatican City juga merupakan satu pembohongan dan fitnah dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh beliau yang merupakan bekas Ketua Menteri dan Timbalan Menteri.

"Kenyataan beliau ini juga perlu dibanteras bagi mengelakkan umat Islam daripada terus mempercayai dan menyebarkan pembohongan serta fitnah ini yang boleh mengakibatkan mereka tergelincir menjadi golongan fasik.

"Pada masa yang sama, Dewan Diraja Selangor ingin memaklumkan bahawa Raja Muda ketika ini sedang menjalani latihan pegawai kadet di Akademi Tentera di-Raja Sandhurst, United Kingdom," katanya.

Sekembalinya Baginda ke tanah air nanti, Baginda akan ditauliahkan di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia.

Sehubungan itu, Dewan Diraja menyeru agar Abdul Rahim menghentikan dengan serta-merta segala tindak-tanduknya menyebarkan berita palsu dan pembohongan berkenaan.