Dewan Rakyat hari ini secara sebulat suara merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 ke Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang.

Keputusan itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 54(2), Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas usul tersebut dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau sebelum itu menggulung sesi perbahasan ahli-ahli Parlimen berkenaan usul tersebut.

Sebelum rehat tengah hari tadi, Vui Keong membentangkan bacaan kali kedua RUU tersebut yang mencetuskan bantahan terutama Ahli Parlimen daripada blok pembangkang.


Rata-rata mereka yang membantah berpandangan bahawa tiada keperluan urusan perbahasan dijalankan selepas bacaan kali kedua RUU itu.

Antara yang membantah termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera); Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang); Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau).

Malah, mereka juga mahu perkara itu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun sidang Dewan Rakyat yang bersambung selepas itu menyaksikan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming memberi jaminan tidak akan ada undian bagi RUU terbabit.

Sebaliknya, beliau memberitahu menteri berkaitan akan mengusulkan supaya ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.