Loceng Sidang Dewan Rakyat dibunyikan dua kali pagi ini susulan bilangan Ahli Parlimen yang hadir didapati tidak cukup korum ketika sidang bermula.

Sidang yang dimulakan dengan loceng pertama dihentikan selama dua minit apabila loceng kedua dibunyikan untuk memanggil lebih ramai Ahli Parlimen masuk.

Perkara itu dibangkitkan Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang mula-mula bangun memaklumkan bahawa korum tidak cukup untuk memulakan sidang.

Yang Dipertua Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudiannya menghitung dan mendapati hanya 24 Ahli Parlimen berada di dalam Dewan.

Beliau kemudiannya mengarahkan loceng dibunyikan.

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) kemudian mencukupkan korum dan sidang dewan dimulakan semula.




BACA: Dewan Rakyat tak cukup korum, perbahasan terhenti seminit

17 Oktober lalu, situasi sama pernah berlaku apabila jumlah Ahli Parlimen tidak mencukupi sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2020.

Timbalan Speaker Nga Kor Ming terpaksa mengarahkan loceng Dewan dibunyikan selama seminit pada pukul 4.06 petang, sewaktu giliran Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) sedang berbahas.

Mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat - Cukupbilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.

Jika siapa-siapa ahli menarik perhatian Pengerusi mengatakan tidak cukup bilang, maka hendaklah dipanggil ahli-ahli di luar Dewan Mesyuarat seolah-olah memanggil ahli kerana hendak diadakan belah bahagian.