Dewan Rakyat ditangguhkan selama 10 minit pagi ini selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Eddin Syazlee Shith dilaporkan pitam ketika sesi soal jawab lisan berlangsung.

Kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu berlaku ketika Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menjawab soalan lisan ketiga.

Eddin Syazlee dikatakan pitam ketika sedang duduk di tempatnya di hadapan Raja Kamarul.

Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon menangguhkan sidang selama 10 minit dan mengarahkan pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan.



Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang juga merupakan doktor perubatan, Eddin dikatakan mengalami sesak nafas.

“Beliau juga mempunyai rekod masalah jantung. Kita rujuk ke Institut Jantung Negara untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.



Beliau kemudian dibawa ke Klinik Parlimen untuk rawatan susulan sebelum dibawa ke IJN.

BACA: Ahli Parlimen Nibong Tebal pitam, sidang Dewan Rakyat terhenti sebentar

Ini merupakan kejadian kedua pada mesyuarat kali ini selepas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman juga pitam ketika perbahasan Dewan Rakyat pada 21 Oktober lalu.