Mahkamah Jenayah Antarabangsa hanya akan dirujuk sebagai jalan terakhir, seandainya sistem kehakiman negara tidak berkemampuan (uncapable) atau tidak berkemahuan (unwilling), untuk mengadili mereka yang melakukan empat kesalahan besar di bawah Statut Rom, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, empat jenayah serius itu ialah - pembunuhan beramai-ramai; jenayah perang, jenayah kemanusiaan, dan jenayah pencerobohan.

Kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu lagi, Kerajaan Persekutuan ingin meratifikasi perjanjian itu atas alasan, mereka berkeyakinan tinggi tiada mana-mana individu di negara ini, sama ada Yang di-Pertuan Agong sendiri atau lain-lain pemimpin akan melakukan empat jenayah itu.

“Saya nak sebut, Mahkamah Jenayah Antarabangsa merupakan pertubuhan bebas dan tidak memihak. Ia memainkan peranan sebagai mahkamah pilihan terakhir atau court of the last resort.

"Dalam erti kata lain, ICC ini hanya akan gunakan bidang kuasa apabila sistem perundangan negara tidak berkemahuan atau berkemampuan untuk mengambil tindakan.

“Bagi menjawab persoalan asas, kerajaan mempunyai keyakinan penuh tiada sesiapa pemimpin Malaysia akan melakukan sama ada satu atau mana-mana jenayah yang tersenarai dalam ICC,” katanya ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab pencelahan dari Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang ingin mengetahui sama ada proses ratifikasi Statut Rom mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong, Saifuddin berkata, ia tidak termasuk dalam kesemua sembilan perkara yang memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja di bawah Artikel 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel itu menyebut, sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

* Persetujuan Majlis Raja-Raja diperlukan apabila hendak dilakukan pindaan ke atas Perlembagaan yang melibatkan sembilan perkara selaras dengan Perkara 159 (5) dan Perkara 38 (4).

i. Sekatan terhadap kebebasan bercakap melarang persoalan isu-isu sensitif: perkara 10(4);

ii. Pemerolehan Kewarganegaraan: Bahagian III;

iii. Keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja: Perkara 38;

iv. Keistimewaan Parlimen dan Keistimewaan dewan undangan: Perkara 63 dan 72;

v. Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri: Perkara 70;

vi. Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri: Perkara 71;

vii. Bahasa kebangsaan: Perkara 152;

viii. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak: Perkara 153;

ix. Pindaan Perlembagaan di bawah Perkara 159(5).

“Soal consent, persetujuan Majlis Raja-Raja.. di bawah Perlembagaan Persekutuan, persetujuan Majlis Raja-Raja diperlukan jika ia libatkan sembilan perkara, termasuk yang disebut.

“Tetapi dalam konteks Mahkamah Jenayah Antarabangsa, ia tak masuk dalam sembilan perkara yang libatkan pindaan Perlembagaan,” katanya lagi.

Saifuddin berkata, beliau mempunyai senarai lebih seratus perjanjian antarabangsa yang tidak dibawa ke Majlis Raja-Raja, tetapi akhirnya diluluskan Parlimen.