Dia ingat dia bercakap dengan budak production - Mamat Khalid

Dia ingat dia bercakap dengan budak production - Mamat Khalid
Jelas Mamat, David memang diketahui cara bercakapnya yang kuat dan lantang, tetapi kali ini beliau dianggap melampaui batas. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cara pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) Datuk David Teo bercakap di hadapan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak "tidak beradab", kata pengarah filem Mamat Khalid.

Jelas Mamat, David memang diketahui cara bercakapnya yang kuat dan lantang, tetapi kali ini beliau dianggap melampaui batas.

“Dengan sesiapa pun dalam industri begitulah cara dia cakap, begitu lantang.

“Jadi apabila berada dalam satu forum bersama dengan perdana menteri, saya rasa kelantangan itu dia tak tahu nak ‘control’. Dia masih ingat dia bercakap dengan budak ‘production’ agaknya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
BACA: Kenapa perlu cakap kasar dengan PM Najib? - Mat Over 

Kebiadaban tersebut seterusnya mengundang kemarahan pelakon Sulaiman Yassin, atau lebih dikenali sebagai Mat Over, yang kemudiannya bertindak menampar muka David, mengejutkan seluruh hadirin sesi program Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan) di Seri Perdana.


Kata Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, mengenali Mat Over secara peribadi, lelaki yang berasal dari Terengganu itu bukanlah seorang yang bengis tetapi sangat bersopan santun.

Malah, beliau sendiri tidak menjangkakan Mat Over akan bertindak sedemikian.

“Bersembang dengan kita pun tak bertentang mata, punya lembut Mat Over ini.

“Maklumlah bukan selalu ada ‘open talk’ pasal industri dengan pemimpin negara, mungkin dia tak mampu nak kawal lagi kesabaran dia.”

Bagaimanapun kata Khalid, insiden memalukan itu tidak akan menjejaskan imej industri seni secara keseluruhannya kerana menyifatkan ia lebih kepada sentimen peribadi.

“David bukannya mewakili seluruh industri yang membolehkan orang luar menunding jari dan memandang serong pada industri.

“Pada saya, dia hanyalah satu individu yang memegang tampuk empayar perfileman yang miliknya sendiri dengan caranya sendiri, tiada kena-mengena dengan industri perfileman negara. Dia adalah entitinya sendiri,” katanya.

Katanya lagi, perkara sudah pun berlaku, dan melihat ke hadapan semua pihak perlu lebih matang, lebih-lebih lagi apabila dalam gelanggang perbincangan supaya insiden sama tidak berulang.