Keluarga pemandu SUV Mazda CX-5 yang maut terhumban ke dalam laut Ahad lepas meminta semua pihak memadam dan menghentikan sebaran gambar dan video kematian mendiang Moey Yun Peng demi menghormati sensitiviti keluarga.

Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Dennis, berkata, penyebaran gambar khususnya di laman media sosial itu akan lebih menyedihkan keluarga kerana gambar itu memperlihatkan mangsa dalam keadaan tidak elok.

Menurut Dennis, ibu dan ayahnya yang berusia dalam lingkungan 60-an juga telah dapat menerima kejadian yang menimpa adik bongsunya itu dan keluarga berharap orang ramai tidak terus membuat spekulasi terutama menuduh Moey berlumba dengan rakannya sehingga berlaku kemalangan awal pagi Ahad itu.

BACA: Pilu lihat mayat pemandu terperangkap dalam SUV jatuh jambatan

'Sudah tentu kami sedih, sebab gambar gambar itu sudah tersebar, kami mohon supaya semua penularan gambar itu dihentikan, dia sudah 'pergi' biarlah imej yang baik ditinggalkan'.

"Beri ruang kepada keluarga untuk bertenang kerana masih bersedih, dan kami sekeluarga menyerah kepada pihak polis untuk jalankan siasatan terperinci sama ada benar mereka berlumba atau tidak " katanya yang kelihatan tenang ketika ditemui di kediamannya di Taman Kempas, Butterworth .

Pihaknya juga menzahirkan ucapan penghargaan tidak terhingga buat semua pihak khususnya seluruh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang bertungkus lumus mencari kereta dipandu adiknya sebelum berjaya membawa naik ke atas Jambatan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, ahli keluarga memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang khususnya pengguna Jambatan Pulau Pinang yang terkesan dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya sepanjang operasi menaikan kereta dan mayat adiknya sejak dua hari lalu.

Beliau berkata upacara pengebumian mendiang akan diadakan di Tanah Perkuburan Cina Berapit pada jam 10 pagi Khamis.

Dalam kejadian 2.54 pagi Ahad, SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey, seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang.

Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan Selasa petang.

Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada jam 6.07 petang, Selasa.