Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Diagnostik AI Wuhan sepantas 10 saat kini tiba di Malaysia

Diagnostik AI Wuhan sepantas 10 saat kini tiba di Malaysia
Sistem yang membantu meningkatkan diagnostik pengesanan di dua Hospital Khas Covid di Wuhan siap dipasang di Hospital Kuala Lumpur. - Foto: Skymind Neurobionix
KUALA LUMPUR: Kemampuan barisan hadapan Malaysia memerangi COVID-19 mendapat sentuhan Revolusi Perindustrian 4.0 dengan tibanya teknologi kecerdasan bantuan (AI) yang berjaya diaplikasi di Wuhan, China.

Pada awal Jumaat, sistem yang membantu meningkatkan diagnostik pengesanan di dua Hospital Khas Covid di Wuhan siap dipasang di Hospital Kuala Lumpur.
Khabar baik itu dikongsi Naib Presiden syarikat di sebalik teknologi ini, Skymind Neurobionix, Eduardo Gonzalez, secara eksklusif dalam rancangan bual bicara Agenda AWANI pada Jumaat malam.

Di Wuhan, Hospital Huo Shen Shan dan Hospital Lei Shen Shan berupaya menganalisis pengimejan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) hanya dalam 10 saat.

Sistem yang dijenamakan Axial AI ini berjaya membantu bukan sahaja kerana diagnostik yang lebih pantas, malah pengurusan sumber kritikal yang lebih efisien.



“Apa yang menarik tentang sistem ini ia bukan seperti sistem awan (cloud). Kami berjaya memasang terus sistem pelayan komputer yang ada di makmal Neurobionix Malaysia dan memasangkan sistem itu pagi tadi (Jumaat),” katanya.

“Saya berada di Hospital Kuala Lumpur untuk memastikan para doktor tahu menggunakannya dan bagaimana ia boleh digabungkan dalam ujian diagnostik pada masa akan datang.

“Ia sangat mengujakan kerana buat kali pertama ia dibawa keluar dari China meskipun ia mengambil masa tiga tahun untuk dibangunkan di makmal di negara tembok besar itu,” tambahnya lagi.



Beliau percaya sistem ini dapat disesuaikan dengan mudah kepada keperluan ekosistem tempatan.

Cabarannya ialah untuk memastikan data, capaian jalur lebar dan juga rangkaian data termasuk isu hak perkongsian data tidak menghalang potensi teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 ini di Malaysia.



Tag: malaysia, covid-19, koronavirus, skymind neurobionix, eduardo gonzalez, AI, kepintaran buatan, kecerdasan buatan, hospital kuala lumpur, hkl



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.