Tutup

Diarah bela diri adakah bermaksud bersalah? Ini penjelasan peguam

Diarah bela diri adakah bermaksud bersalah? Ini penjelasan peguam
Bagi mengelakkan orang ramai daripada sebarang salah faham, peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff tampil memberikan penjelasan berhubung perkara ini. -foto AstroAWANI
SUASANA perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu diselubungi rasa sedih dan kesyukuran.

Ia selepas keputusan mahkamah untuk mengarahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri atas kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Bapa Allahyarham Zulfarhan Osman, sujud syukur sebaik keluar dari kamar mahkamah selepas mendengar keputusan Hakim, Datuk Azman Abdullah. 

BACA: Kes bunuh Zulfarhan: 18 diarah bela diri, seorang dibebaskan

Ibu Zulfarhan, Hawa Osman, juga menyifatkan keputusan mahkamah sebagai satu jawapan untuk doanya yang mahukan balasan setimpal diberikan kepada pesalah.

Namun, ada segelintir masyarakat mula tertanya-tanya tentang apa yang dimaksudkan dengan “membela diri”, malah, ada yang turut mempersoalkan adakah keputusan itu akan membawa kepada jatuhnya hukuman yang ditetapkan?

Bagi mengelakkan orang ramai daripada sebarang salah faham, peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff tampil memberikan penjelasan berhubung perkara ini.

Dipanggil Membela Diri tak bermaksud bersalah

Hari ini netizen dilihat gembira meraikan satu kes. Siap kata padan muka, macam-macam lah. Ada juga page yang dah siap tulis "didapati bersalah”. Agak pelik bila netizen yang pakar serba-serbi tak perasan belum ada hukuman dijatuhkan. Yang ada cuma dipanggil membela diri.

Perbicaraan 2 peringkat

Untuk semua kes jenayah, perbicaraan ada 2 peringkat:
Pertama: Peringkat Prima Facie

Pendakwaan perlu membuktikan kes ke atas tertuduh. Pendakwa perlu panggil semua saksi pendakwaan yang material.

Pada peringkat ni, OKT tidak akan memberi sebarang kenyataan. OKT cuma duduk diam-diam dalam kandang tertuduh. Yang beri kenyataan semuanya saksi pendakwa. Bila saksi pendakwa, mestilah semua kenyataan tu akan menunjukkan kesalahan terletak pada OKT.

Di sini selalu netizen membentuk persepsi. Pada peringkat ni, semua yang dinyatakan adalah dari sebelah pihak sahaja.

Tugas peguam pada peringkat ini adalah untuk menunjukkan bahawa tidak ada bukti yang boleh mengaitkan OKT dengan jenayah yang dituduh; sama ada dengan ketiadaan bukti, ketiadaan saksi, kenyataan saksi yang tak kuat, eh banyak la lagi nak kena teliti.

Tugas peguam juga untuk menyebut apa-apa kejadian atau bukti dari sudut OKT. Sama ada fakta kejadian menurut OKT, alibi, kewujudan saksi bebas, atau wujud pembelaan kepada kejadian. (Contoh; bunuh orang untuk tujuan bela diri).

Dihujung kes Prima Facie, mahkamah akan membuat penilaian sama ada Pendakwaan berjaya membuktikan satu kes Prima Facie.

Kalau berjaya, Mahkamah akan ke Peringkat kedua.

Kedua; Peringkat Pembelaan

Pada peringkat ni, mahkamah telah menerima fakta pertuduhan. Tapi belum secara total. Round kedua ni Mahkamah dengar kenyataan dari OKT dan saksi-saksi pembelaan pula.
Pada peringkat ni OKT boleh pilih antara tiga pilihan:

1- Berdiam diri. Mahkamah akan terus jatuhkan hukuman kerana kes dah terbukti dan tidak dijawab.

2- Beri keterangan di kandang tertuduh. Ni tak kuat sebab kenyataan dia tak boleh di cabar oleh pendakwaan. Ada satu kes dulu dia cuma cakap dalam kandang tertuduh, habis dituduh semua orang. Penerimaan Mahkamah kepada kenyataan ni juga tak kuat. Ye la, kalau cakap betul, kenapa takut kena soal balas kan.

3- Kenyataan dari kandang saksi dalam keadaan bersumpah. Yang ni kuat. Tapi berpeluh la kena gasak.

OKT juga boleh panggil saksi-saksi yang menyokong kenyataan OKT

Habis kes pembelaan, mahkamah akan menilai semula kes secara keseluruhan. Dari awal balik.

Kenapa?

Kerana pada peringkat awal, walaupun lawyer ada kata hal-hal yang menyokong OKT, ada kalanya ia tak kuat. Mahkamah nak dengar dari saksi.

Bila saksi dah dipanggil, dan kenyataan tu menyokong dan membuktikan kenyataan OKT, mahkamah perlu bebaskan OKT.

Kalau tak, maknanya kes Prima Facie pendakwaan tu kekal la.

Bila kekal, baru mahkamah boleh sabitkan. Baru boleh jatuh hukum.

Malah, mahkamah boleh buat pindaan kepada pertuduhan.

Adakah pembuktian Prima Facie ni dah menang kes?

Tak juga. Tapi ia dah lebih dari 50% nak menang dah. Bergantung kepada pembelaan yang digunakan.

Dan jangan lupa, ada pula proses rayuan, yang dah kami terangkan sebelum ni.

Jadi dalam kes yang viral harini, kita baru dengar dari sebelah pihak. Sekarang kita perlu mendengar dari pihak satu lagi. Baru adil.

Alaa.. masa kau kecik-kecik dulu, bila bergaduh adik-beradik, tiba-tiba kau kena sebat sebab kau abang, mesti kau tak puas hati kan. Tak dapat bela diri tapi kena hukum, padahal adik kau yang buat hal.

Sama la konsep dia. Kena dengar dua-dua pihak. Kena nilai pula kenyataan kedua-dua pihak. Baru buat keputusan.

Sumber: The Law Chambers Of Redzuan & Faiezad

Tag: UPNM, Kes bunuh Zulfarhan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain, membela diri, Kanun Keseksaan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.