Kekurangan diri kerana tergolong dalam orang kelainan upaya (OKU) tidak pernah dipinta oleh lelaki bernama Syukri Saad, 39 tahun.

Lebih menyedihkan apabila, Syukri pernah dibuang keluarga hingga tiada tempat berteduh selain tidak makan selama berhari-hari.

Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangat Syukri sebaliknya ada sahaja dorongan yang kuat dari jiwanya sendiri untuk meneruskan kehidupan.

Syukri kini menumpang di rumah ibu saudara di Kampung Binjal, Jalan Utan Aji, Kangar.

Walaupun mempunyai kecacatan fizikal, pemikiran dan akal Syukri tidak pernah ‘terencat’ sebaliknya gigih melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung kehidupan seharian.

Menjadi penjual burger, tukang masak di gerai kaki lima, mengambil upah memanjat kelapa, malah dia pernah menjadi tukang membaiki atap rumah.

Syukri berkata, dia juga pernah menjadi atlet angkat berat mewakili negeri Perlis, namun kejayaannya tidak pernah didendang.

“Saya duduk dengan ibu saudara, ayah saya sudah tiada manakala adik-beradik lain tidak mahu ambil tahu tentang diri saya.

“Mak sendiri pun saya tidak tahu duduk di mana. Saya tidak tahu mak saya yang mana satu. Saya anak orang buang,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui Astro AWANI.

Pada musim menuai padi, Syukri membuat kerja sambilan membawa forklift di kilang padi dengan upah RM30 sehari.

Walaupun nampak bahaya untuk dirinya, dia terpaksa melakukan itu demi mencari sesuap nasi.

Sehubungan itu, bagi yang mahu membantu, boleh menghubunginya di talian 017-4605132 atau boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di atas nama Syukri Saad (0920029000131296).