Mayat seorang lelaki yang ditemui di celah kapal minyak di sebuah jeti persendirian di Jalan Lanang dekat sini akan diklasifikasi semula jika ia melibatkan unsur-unsur jenayah sehingga bedah siasat selesai kelak.

Timbalan Pesuruhjaya Ketua Polis Sarawak, Dev Kumar M.M Sree berkata, mangsa yang belum dikenal pasti itu mungkin membunuh diri atau sebaliknya.

"Pemeriksaan awal terhadap mayat itu tidak menjumpai sebarang kecederaan dan kita telah bersetuju untuk menjalankan bedah siasat dua hari akan datang," katanya pada sidang media di Kuching pagi tadi.

Mayat lelaki yang berpakaian seluar panjang tanpa baju itu diketemukan selepas orang awam ternampak mayat itu ketika memancing di lokasi kejadian pada jam 6.00 petang semalam.

BACA: Mayat lelaki ditemukan diikat dengan batu di Sungai Rajang

Mayat lelaki yang berpakaian seluar panjang tanpa baju itu ditemui selepas orang awam ternampak mayat itu ketika memancing di lokasi kejadian pada jam 6.00 petang semalam. - Foto PDRM

Katanya, mangsa mungkin bertindak mengikat kakinya sendiri untuk membunuh diri atau perbuatan jenayah.

"Pemeriksaan awal terhadap mayat tidak menjumpai sebarang kecederaan, jadi kita kena tunggu sehingga bedah siasat yang akan dilakukan dalam dua hari lagi.

"Apabila bedah siasat selesai barulah kita dapat pasti sebab kematian mangsa sebelum kes diklasifikasi semula," katanya lanjut.

Katanya, jika keputusan bedah siasat menemui sebarang unsur-unsur jenayah, kes akan diklasifikasi sebagai kes bunuh dan jika tidak ia kekal sebagai kes mati mengejut (SDR).

Menurut Dev, pihaknya percaya mangsa merupakan warga asing kerana tidak mempunyai tanda suntikan BCG di kedua belah lengannya.

Katanya, hanya batu bata yang diikat pada badan mangsa agak mencurigakan.

"Dalam kes ini, kita tidak boleh terus cakap 'bunuh' sebab tak ada sebarang tanda, cuma batu bata itu, tetapi mangsa mungkin bertindak melakukan sendiri sedemikian (bunuh diri)," jeasnya lanjut.

Dalam kejadian itu, pihak polis telah meminta bantuan pasukan Bomba untuk mengangkat mayat yang berada di celah kapal minyak yang berlabuh di jeti tersebut.

Mayat seorang lelaki dewasa itu berada dalam keadaan terlungkup di dalam air sungai, di celah kapal dan apabila diangkat didapati beberapa ketulan bata terikat pada badan si mati.

Pemeriksaan polis di tempat kejadian,mendapati ada dua ikatan tali di bahagian leher dan pinggang yang diikat bersama empat biji batu bata di dalam jaring.

Mayat ditemui dalam keadaan lengkap memakai seluar sukan tanpa baju.

Mayat kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Sibu, Assisten Komisioner, Stanley Jonathan Ringgit berkata, bedah siasat akan dijalankan terhadap mayat yang belum dikenal pasti dalam masa terdekat ini.