Didakwa terlibat kemalangan, rupanya maut dipukul majikan

Didakwa terlibat kemalangan, rupanya maut dipukul majikan
Siasatan polis di lokasi kejadian pada Rabu. - Astro AWANI
SEBERANG PERAI: Perselisihan faham antara seorang lelaki dengan majikannya berakhir dengan tragedi apabila pekerja itu maut dalam kejadian di sebuah kedai cuci kereta di Taman Chai Leng, Perai.

Mangsa, S.Gehanathan, 38 tahun, meninggal dunia pada pukul 11 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, sebelum itu mangsa dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya pada pukul 4.30 petang Selasa akibat kecederaan parah.

Pihak hospital diberitahu dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Bagaimanapun, hasil bedah siasat menunjukkan kecederaan yang dialami mangsa bukan akibat kemalangan tetapi perbuatan jenayah.

Pemeriksaan lanjut mendapati luka di kepala, muka dan lengan mangsa menunjukkan kesan pukul.

Siasatan polis di lokasi yang didakwa berlaku kemalangan pula tidak menunjukkan sebarang kesan atau bukti kemalangan sebagaimana didakwa.

Nik Ros Azhan berkata, pihak polis telah ke lokasi kedai cuci kereta itu dan soal siasat ke atas tujuh pekerja, tiga daripadanya warga Myanmar, mengesahkan mangsa dipukul tiga lelaki, termasuk majikannya, susulan perselisihan faham.

Katanya, Gehanathan dikatakan telah mengirim mesej menerusi aplikasi WhatsApp bertujuan mengganggu isteri majikannya serta mengugut untuk menganggu keluarga lelaki berkenaan.

Berang dengan ugutan itu, majikannya bersama dua lelaki lain memukul mangsa sehingga parah. Majikan tersebut kemudian mengarahkan semua pekerjanya untuk berkata Gehanathan kemalangan jalan raya dan bukan dipukul.

Pemeriksaan polis di lokasi menemui percikan darah di dinding ruang tamu, sebatang kayu panjang 0.95 meter, tin cat serta kayu mop yang ada kesan darah. Kayu mop itu dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
 
Susulan itu, polis menahan majikan yang berusia 35 tahun dan seorang lelaki berumur 21 tahun. Seorang lagi suspek lelaki berusia 30 tahun sedang dikesan polis.

Kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.




Tag: kedai mencuci kereta, maut dipukul, perselisihan faham, Taman Chai Leng, S Gehanathan, Polis Daerah Seberang Perai Tengah, maut dipukul majikan, Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.