Persatuan Kesedaran Malaysia atau Malaysia Awareness Society (MASA) menyarankan masyarakat agar tidak menghukum pengguna dadah sewenang-wenangnya dengan melabelkan mereka sebagai sampah masyarakat.

Presidennya, Intan Mustika Putri Mokhtar berkata, pelbagai usaha perlu dilakukan termasuk dengan memberikan pendidikan dan maklumat yang tepat agar orang ramai boleh mengubah stigma mereka terhadap pengguna dadah.

Justeru itu, kumpulan aktivis tersebut buat julung kalinya mengadakan kempen 'Support. Don’t Punish' (Beri Sokongan. Bukan Hukuman) sebagai usaha untuk memberikan kesedaran kepada orang awam.

“Pada tahun ini, MASA menganjurkan 'Support. Don’t Punish' yang merupakan program di bawah International Drug Policy Consortium (IDPC) bagi memberi kesedaran (kepada orang awam).

"Sebab, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk V.K Liew, (Ahli Parlimen Permatang Pauh) Nurul Izzah Anwar dan (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah mencadangkan untuk meminda undang-undang dengan tidak lagi menjadikan pengguna dadah kecil-kecilan sebagai penjenayah.

“Jadi, kami sangat menyokong usaha ini dan pada pendapat kami ia satu usaha yang bagus,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Pada Isnin (24 Jun), Muhyiddin berkata penagih dadah di negara ini kini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Katanya, takrifan itu dicapai susulan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bersetuju untuk melaksanakan 'decriminalisation' ke atas penagih dadah.

KDN juga sedang mengkaji untuk mengeluarkan Seksyen 6, 8 dan 9 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (APD) daripada didaftarkan di bawah Akta 7 (Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969) bagi memberi peluang kedua kepada penagih yang telah pulih dan dibebaskan daripada pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), katanya.

Mengulas lanjut, Intan Mustika berkata, inisiatif tersebut disifatkan mampu menyelamatkan masa depan pengguna dadah, khususnya golongan belia yang terlibat dalam kancah itu, daripada menjadi mangsa undang-undang yang tidak adil.

Menurutnya, buat masa ini, ada di kalangan belia yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat didakwa menjadi "mangsa" pihak berkuasa anti dadah dan "dijadikan penjenayah".

“Apabila keluar dari AADK mereka tiada kerja. Jadi, hukuman kita sekarang adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak memikirkan apa yang terjadi kepada orang yang dihukum,” kata Intan Mustika.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa MASA, Yatie Jonet berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan decriminalisation terhadap pengguna dadah.

“Saya belajar melalui pengalaman perit bertahun-tahun dan pernah masuk pusat (pemulihan) dan penjara. Saya tahu sistem (yang dilaksanakan ke atas pengguna dadah).

“Kerajaan perlu melibatkan kami (dalam usaha tersebut) kerana hanya kami yang tahu apa yang berlaku di dalam (penjara dan pusat pemulihan), dan apa (kelemahan) yang perlu ditutup supaya kita dapat menubuhkan satu program yang efektif,” katanya.