Bandar Muar telah menunjukkan pelbagai perubahan sejak diisytihar sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada November 2012.

Terbaharu, Bandar Muar telah dipilih sebagai bandar terbersih di Asia Tenggara selain Pulau Pinang dan Putrajaya.

Majlis Perbandaran Muar (MPM) dinobatkan anugerah Asean Clean Tourist City Standard Award 2017 yang disampaikan semasa Mesyuarat ASEAN Tourism Forum 2018 yang berlansung di Chiang Mai, Thailand.

Pegawai Daerah Muar, On Jabbar ketika dihubungi Astro AWANI berkata, anugerah yang diperoleh ini bukan terjadi dalam sekelip mata.

“Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan Bandar Muar terutamanya selepas diisytihar sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja seperti yang dititah oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Setiap individu di Muar memainkan peranan penting terutamanya peniaga, masyarakat dan MPM sendiri untuk terus menjaga kebersihan di Muar. Kebersihan itu telah menjadi budaya di sini.

“Bukan itu sahaja, Muar sebelum ini telah dinobatkan sebagai bandar bersih dalam Malaysia pada 2016, secara tak langsung melalui proses-proses tersebut, penilaian diambil kira untuk peringkat ASEAN,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin bersama pegawai pengiring menerima anugerah ini di Chiang Mai, Thailand. - Foto: Astro AWANI

Tambah On Jabbar, penilaian telah dilakukan selepas beberapa tahun membuktikan Muar mempunyai ciri-ciri bandar bersih mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan ASEAN.

“Sikap dalam kalangan masyarakat itu adalah kunci utama anugerah ini berjaya dirangkul. Ini termasuk sikap pekerja pembersihan yang melakukan kerja pembersihan secara berkala dan konsisten untuk memastikan (bandar ini) sentiasa bersih.

“Tambahan itu, sikap peniaga di bandar ini juga penting dan mereka perlu memastikan segala sampah sarap dilupuskan mengikut kategori yang ditetapkan,” tegasnya.

Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard yang berjaya dimenangi bandar Muar. - Foto: Astro AWANI

Beliau berharap, dengan anugerah yang diterima ini dapat terus memupuk semangat masyarakat Muar untuk terus menjaga kebersihan bandar itu.

“Pada saya, anugerah ini menuntungkan orang ramai. Bukan sahaja dari segi kebersihan, malah dari segi ekonomi. Ini kerana bandar yang bersih akan menerima lebih ramai pengunjung,” tambahnya.