Dijemput ajal genap sebulan menikah

Dijemput ajal genap sebulan menikah
Pasangan Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi dan Nur Diana Afifah Hasnulhady dipanggil mengadap Ilahi setelah terlibat dalam kemalangan di sini awal pagi tadi. -Foto Bernama
ROMPIN: Genap sebulan selepas menikmati hidup berumah tangga, pasangan Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi, 24 dan Nur Diana Afifah Hasnulhady, 24 dipanggil mengadap Ilahi setelah terlibat dalam kemalangan di sini awal pagi Ahad.

Dalam kemalangan pada 1.30 pagi, Mohamad Syahmi bersama isterinya Nur Diana maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Perodua Viva yang mereka naiki masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang dinaiki 30 penumpang.

Kemalangan itu turut meragut nyawa dua lagi sepupu Mohamad Syahmi, Yasmin Afiqah Hazemi, 14, dan Yasmin Aliah Hazemi, 12.

BACA: Empat termasuk suami isteri maut kemalangan di Rompin

Menurut ayah Mohamad Syahmi, Mohd Rawi Manab, 50, dia tidak menyangka hasrat anak sulungnya itu untuk menghantar barang adik bongsunya (lelaki) yang berusia 20 tahun ke Politeknik Muadzam Shah, Bandar Muadzam Shah akan berakhir dengan tragedi.
"Sepatutnya saya yang hantar, tetapi dia menawarkan diri untuk berbuat demikian kerana ingin berjalan-jalan ke rumah neneknya di Mersing sebelum berkonvoi Teluk Chempedak, Kuantan bersama sebuah lagi kereta.

"Semasa dalam perjalanan pulang itulah mereka terlibat dalam kemalangan dan menurut anak bongsu saya yang memandu sebuah lagi kereta, dia terdengar bunyi letupan sebelum menyedari kenderaan Mohamad Syahmi terlibat dengan kemalangan itu," katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik, Hospital Rompin di sini hari ini.


Sepanjang temu bual itu, Mohd Rawi yang berasal dari Johor Bahru tidak dapat menahan rasa sebak dan terpaksa berhenti beberapa kali bercakap disebabkan terlalu sedih dengan kejadian menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu.

"Barang-barang perkahwinan pun masih belum habis dikemas sebab dia dan isterinya bercadang untuk pindah ke rumah sewa di Taman Perling, Johor Bahru," katanya.

Ibu kepada dua beradik berkenaan bagaimanapun tidak dapat ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kehilangan mengejut anaknya itu, malah turut kelihatan hampir pengsan selepas melihat jasad dua anaknya di dalam bilik mayat.

Kemalangan yang meragut nyawa Mohamad Syahmi dan isterinya Nur Diana.

Sementara itu, kakak kepada Nur Diana, Nur Hadira Aifa, 25, tidak menyangka pesanan adiknya kepada ibu mereka bahawa dia ingin bercuti lama di Mersing semalam merupakan petanda dia akan dikebumikan di situ.

"Dia beritahu hendak bercuti lama sedikit sebab ini kali pertama Nur Diana berjalan jauh ke rumah nenek Mohamad Syahmi di Sri Pantai Mersing selepas mendirikan rumah tangga pada 8 Nov lalu selepas setahun bercinta," katanya.

Baru-baru ini, katanya adiknya yang merupakan anak ketiga daripada enam beradil itu juga sempat meninggalkan pesanan supaya memadamkan akaun Facebooknya jika terjadi sesuatu pada dirinya.

Jenazah kesemua mangsa difahamkan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam, Sri Pantai Mersing petang ini.


Tag: perkahwinan, Nur Diana Afifah Hasnulhady, Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi, kemalangan, Mohamad Syahmi, Yasmin Afiqah Hazemi, Yasmin Aliah Hazemi, bilik mayat


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.