Tutup

Dikompaun RM62.5 juta, ADUN Slim buat laporan polis terhadap Latheefa Koya, SPRM

Dikompaun RM62.5 juta, ADUN Slim buat laporan polis terhadap Latheefa Koya, SPRM
Mohd Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, membuat laporan polis terhadap Latheefa Koya dan SPRM di Balai Polis Sungai Senam, di Ipoh pada Selasa. - Foto Astro AWANI
IPOH: Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib mengaku menerima cek bagi tujuan dana politik daripada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2013.

Bagaimanapun tegas beliau, tidak menjadi satu kesalahan dalam undang-undang untuk parti politik menerima dana bagi tujuan politik, khususnya dari Presiden parti sendiri.
"11 Oktober yang lalu pihak Badan Perhubungan UMNO Perak telah menerima satu notis kompaun daripada pihak SPRM di mana Badan Perhubungan Umno Perak diminta untuk membayar kompaun RM62.5 juta.

"Atas tuduhan kononnya telah menerima cek peribadi daripada Datuk Seri Najib berjumlah RM25 juta pada tahun  2013, dan mereka kaitkan sumbangan dana ini berpunca daripada sumber haram pengubahsuaian wang 1MDB.
"Bos kami adalah Presiden UMNO (ketika itu), jadi kalau ada apa-apa masalah berkaitan dana di peringkat negeri dan bahagian, kita akan mengadu hal ini kepada presiden," katanya.

Mohd Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Latheefa Koya dan SPRM di Balai Polis Sungai Senam, di sini pada Selasa.

Katanya lagi, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai oleh Latheefa Koya ini disifatkan sebagai menghina mahkamah dan menjatuhkan maruah SPRM sendiri sebagai badan bebas.

"Jadi apabila notis yang seumpama ini diberikan, ianya adalah satu tindakan "rule of the jungle".

"Saya mendesak kepada pihak polis untuk mengambil tindakan tegas memulakan siasatan terhadap Latheefa Koya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana bertindak mendahului keputusan mahkamah yang sedang membicarakan hal 1MDB dan belum ada keputusan lagi," katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan pada 7 Oktober lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun bernilai RM420 juta terhadap 80 individu dan entiti tertentu bagi mendapatkan semula dana 1MDB.


Menurut SPRM, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Antara entiti yang tersenarai termasuk Puteri UMNO Malaysia, Badan Perhubungan UMNO Perak, 15 Bahagian UMNO, MIC dan Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor.

Terdahulu, Mohd Khusairi dan beberapa pimpinan UMNO Perak hadir di Balai Polis Sungai Senam bagi membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dan SPRM di atas tindakan mengkompaun UMNO negeri di bawah AMLA.


Tag: Najib Razak, UMNO, Puteri UMNO, 1MDB, SPRM, undang-undang, siasatan, Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, Mohd Khusairi Abdul Talib, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.