Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu tiada apa perkara yang hendak disembunyikannya selepas tular beritanya disiasat Lembaga Disiplin UMNO.

Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan, tetap konsisten dan membenarkan apa sahaja siasatan dilakukan ke atas dirinya selepas isu surat daripada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Mohamed Apandi Ali itu tular di media sosial.

"Kini bukan sahaja sebahagian besar ahli parti berikrar untuk terus berjuang mengukuhkan parti.

"Malah, Presiden sendiri telah akui dalam Ucapan Penggulungan PAU2019 bahawa kesemua Ahli Parlimen UMNO tetap setia kepada parti.

"Jadi, janganlah kita keruhkan semula keadaan dengan menimbulkan sebarang spekulasi," katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin UMNO mengesahkan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap bekas naib presidennya, Hishammuddin berhubung pertemuan sekumpulan Ahli Parlimen parti itu dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebelum ini turut mendakwa Hishammuddin mengetuai pertemuan berkenaan yang diadakan kediaman rasmi Mohamed Azmin di Putrajaya.

Dalam pada itu, Hishammuddin menambah, sekarang ialah masa untuk membulatkan tekad, merapatkan barisan dan melangkah ke depan demi menyantuni rakyat.

"Ia perlu agar mereka kembali yakin terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

Bagaimanapun, portal The Malaysian Insight melalui sumber mereka dilaporkan berkata, Lembaga Disiplin UMNO diminta menarik balik surat tunjuk sebab kepada Hishammuddin atas pertuduhan melanggar perlembagaan parti kerana 'isu tersebut sudah selesai'.

Sumber itu turut memaklumkan, perkara tersebut dimaklumkan sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam penjelasannya kepada para ketua bahagian parti.