Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyalahkan penganjur Majlis Pelancaran Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG) kerana membuatkan beliau seolah-olah mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, beliau telah diberikan teks ucapan oleh pihak penganjur sebagai panduan untuk berucap di majlis itu.

“Setelah majlis bermula, saya dimaklumkan pihak penganjur bahawa YAB Timbalan Perdana Menteri tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan saya diminta untuk menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya mewakili YAB Timbalan Perdana Menteri ke majlis ini. Sebarang kenyataan yang menyatakan saya mewakili YAB Timbalan Perdana Menteri adalah bertujuan untuk mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Rashid menggesa penganjur, iaitu Xiddig Cellular Communications Sdn, Bhd, agar segera bertindak membetulkan keadaan, sekali gus membersihkan nama beliau daripada sebarang kekeliruan.

“Jika pihak penganjur tidak mengeluarkan sebarang penjelasan dan penafian, pihak saya tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya lagi.