Tiga lebuh raya di bawah kendalian Pengurusan Divisyen Tol IJM menawarkan diskaun 10 peratus bagi kenderaan Kelas 1 sempena sambutan Tahun Baru Cina 16 Februari ini bermula 12.01 pagi hingga 12 malam, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Lebuh raya yang terlibat termasuk Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)

“Seperti sebelum ini, pemberian diskaun tol telah menjadi tanggungjawab kami bagi setiap musim perayaan untuk menghargai dan meringankan beban pengguna lebuhraya,” kata Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff.

“Kami juga ingin menyarankan kepada pengguna lebuh raya untuk menggunakan Lebuhraya LEKAS bagi yang ingin ke selatan dan bagi yang ingin ke timur, pengguna lebuh raya boleh menggunakan Lebuhraya Besraya melalui Plaza Tol Loke Yew untuk ke MRR2 bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa,” kata Wan Salwani.

Pihak syarikat turut menganjurkan kempen ‘Big Spender @ LEKAS – Travel to win Angpow’ bagi pengguna lebuhraya LEKAS. Program ini menawarkan pemberian angpaw secara tunai.

“Pengguna lebuh raya hanya perlu melakukan transaksi tol sebanyak mungkin di mana-mana plaza tol LEKAS sepanjang bulan Februari ini hingga 5 Mac 2018 dan program ini hanya terbuka bagi kenderaan Kelas 1 sahaja.

Pengguna boleh memenangi angpau berupa wang tunai keseluruhan berjumlah RM1,480.00,” katanya.