Kerajaan negeri Perak yang diterajui Pakatan Harapan memberi diskaun sebanyak 70 peratus bagi saman parkir di semua 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yoong Choo Kiong berkata, tempoh sebulan diberikan untuk diskaun iaitu dari 28 Mei hingga 28 Jun 2018.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, parkir di semua PBT akan diseragamkan mulai Januari tahun depan, bagi memudahkan rakyat kerana mereka hanya perlu membeli kupon parkir yang boleh digunakan di semua PBT.

Selain itu, beliau turut mengumumkan penurunan bayaran tahunan papan tanda di premis perniagaan persendirian sebanyak 50 peratus, dalam masa terdekat.

“Bayaran itu yang meningkat sehingga 700 peratus sebelum ini telah menjejaskan keuntungan peniaga terjejas dan ada di antara mereka yang menurunkan papan tanda.

“Kita beri diskaun Ini supaya kita memulihkan wajah bandar kita lebih cantik, terutama sekali pada waktu malam, lebih ceria, lebih terang sebab banyak papan tanda sekarang berteknologi tinggi.

“Bila harga papan tanda pada dua tiga tahun lalu dinaikkan, menjejaskan pendapatan setiap PBT juga sebab ramai daripada mereka turunkan, tidak mahu pasang dan ini juga secara tidak langsung menjejaskan imej bandar raya kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pertama dengan Yang Dipertua PBT seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di sini, hari ini.

Paul Yoong berharap, dengan pengurangan itu, akan menceriakan suasana malam di dalam bandar seperti yang terdapat di negara-negara lain seperti di negara-negara maju.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, setiap PBT juga akan menyediakan tiga kakitangan di kaunter-kaunter pertanyaan, bagi memudahkan urusan rakyat dari kaum Melayu, Cina dan India.

Beliau turut mengumumkan setiap PBT perlu mengadakan program turun padang sebanyak dua kali sebulan, pada pertengahan dan akhir bulan, untuk memahami masalah rakyat di samping memantau serta menyelia projek-projek yang diluluskan.

“Saya sendiri akan turut serta di dalam program itu dari semasa ke semasa dan jika keadaan mengizinkan atau memerlukan saya sendiri turun,” ujarnya.

Beliau menambah, setiap PBT juga dikehendaki mengadakan Program Bertemu Pelanggan sebulan sekali yang melibatkan Yang Dipertua serta ketua-ketua jabatan PBT berkenaan.