Gara-gara mahu membantu seorang rakan dari Singapura membeli topeng muka, seorang ahli perniagaan dari Jalan Cheku Road di sini, mendakwa mengalami kerugian lebih RM266,000 selepas ditipu oleh `peniaga’ di Facebook .

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komissioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa berusia 36 tahun dihubungi rakannya dari Singapura pada jam 7 malam, 9 Februari lalu yang meminta bantuan untuk membeli topeng muka kerana barangan yang mendapat permintaan tinggi susulan wabak COVID-19 yang melanda negara itu sudah kehabisan stok.

Stanley berkata, mangsa kemudian cuba membantu rakannya dengan memuat naik status di Facebook mencari penjual topeng muka dan tidak lama kemudian menerima mesej daripada seorang lelaki mendakwa boleh membekalkan topeng muka dengan harga SGD14 sekotak.

"Dia kemudian menempah 20,000 kotak topeng muka bernilai SGD88,690 atau kira-kira RM266,153 dan meminta rakannya membuat pembayaran ke dalam satu akaun bank di Singapura," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Stanley berkata, setelah rakannya membuat pembayaran melalui transaksi atas talian, topeng muka yang ditempah masih belum diterima sehingga kini.

Beliau berkata, mangsa akhirnya menyedari telah ditipu lalu membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.