Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan adanya DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk.

Hasil siasatan oleh KKM mendapati tiga (3) sampel coklat Cadbury telah diambil untuk analisis DNA khinzir (porcine) bagi tujuan pemantauan.

Keputusan analisis mendapati dua (2) sampel telah dikesan mengandungi DNA babi (porcine) iaitu:

1) Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014; dan

2) Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

KKM mengambil maklum isu pengesanan DNA babi (porcine) dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas melalui aplikasi media sosial pada 23 Mei.

Di dalam media sosial tersebut telah memaparkan keputusan analisis DNA babi (porcine) dikesan di dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk.

Pihak pengeluar iaitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn. Bhd. telah memberi jaminan akan memanggil balik produk-produk yang terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

KKM menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada KKM melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
NAMA : NOR SUZAMAN BIN ABDUL RAHMAN
TEL : 03-8883 2782
EMEL : [email protected]