Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak boleh dijadikan bukti bagi meluluskan sebarang permohonan untuk menjadi warganegara.

Sebaliknya, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, ujian berkenaan hanya boleh dijadikan dokumen sokongan untuk memohon taraf kewarganegaraan Malaysia.

Menurut beliau, kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung sewaktu kelahiran selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan serta perundangan berkaitan.

“Buat masa ini kerajaan hanya menggunakan keputusan DNA sebagai dokumen sokongan bagi mengesahkan pertalian darah seseorang dengan ahli keluarga yang lain dan tidak dijadikan bukti konklusif dalam penganugerahan kewarganegaraan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) sama ada kerajaan bercadang menggunakan DNA sebagai bukti mengenal pasti hubungan antara anak dengan bapa dalam memohon status kerakyatan Malaysia.

Mohd Azis berkata, kaedah merekod taraf kewarganegaraan individu yang dilahirkan di Malaysia oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah selaras dengan peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964.

Kaedah berkenaan sekali gus menjadikan mana-mana pemohon untuk mematuhi undang-undang lain yang berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan dan mempunyai status keberadaan yang sah di Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azis menjelaskan, kerajaan sedia untuk mengkaji semula penggajian anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada 11 Jun lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan, kajian tersebut perlu mengambil kira kekangan dan implikasi kewangan negara serta pariti dengan skim-skim perkhidmatan lain.

"Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan kajian dan telah membentangkan perkara ini kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada 10 Julai 2019 dan memanjangkan permohonan ini ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 20 Ogos 2019 untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Mohd Azis berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH - Kapar) terhadap cadangan untuk mengkaji semula penggajian anggota agensi penguatkuasaan memandangkan cabaran tugas yang semakin hebat terutamanya PDRM dan penjara.