Seorang doktor dari hospital kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown pada Selasa atas pertuduhan menyimpan barangan curi, April lalu.

Sebanyak dua pertuduhan dibacakan terhadap Dr Neoh Soon Khai, 39, di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap dan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Dr Neoh bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Dr Neoh didakwa memiliki harta curi iaitu kad pengenalan kepunyaan orang lain di sebuah unit Gurney Park Condo, Jalan Kelawai, Georgetown pada jam 7.55 malam, 23 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyimpan kad pengenalan dan pasport milik orang berbeza tanpa kebenaran di lokasi yang sama pada jam 7.55 malam, 24 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, pendakwaan mempunyai 11 pertuduhan terhadap tertuduh namun peguamnya, K Mahendran, memberitahu mahkamah anak guamnya pernah mendapat rawatan psikiatri.

Berikutan itu, hanya dua pertuduhan dibacakan dan mahkamah kemudian membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali supaya tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta.