Deodoran penyebab kanser? Makan cili akan sebabkan keradangan apendiks? Perlu masukkan sudu ke mulut orang diserang sawan? Mandi malam penyebab paru-paru berair?

Kini persoalan-persoalan tersebut akan terjawab apabila kumpulan doktor-doktor yang aktif memberikan informasi kesihatan di Twitter dengan #MedTweetMy menghasilkan buku bertajuk Perang Melawan Mitos (PMM).

Menurut pengasas Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (Medical Tweet Malaysia MedTweetMy), Dr Khairul Hafidz Alkhair, buku itu akan menemui pembaca pada Sabtu ini bersempena Pesta Buku Antarabangsa 2017 di Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (PWTC).

"Cetusan idea ini adalah kerana soalan yang berulang-ulang ditanyakan dalam Twitter di bawah #MedTweetMy atau #PerangMelawanMitos.

"Kami telah mengumumkan akan memulakan penulisan buku ini sekitar hujung September 2016. Syukur ia telah menjadi realiti dan semoga orang ramai akan mendapat manfaat dan informasi yang betul berdasarkan bukti saintifik yang diketengahkan oleh rakan-rakan penulis berkenaan," katanya semasa menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Buku Perang Melawan Mitos merupakan gabungan pertanyaan netizen di alam Twitter tentang informasi kesihatan menggunakan hashtag #MedTweetMy dan #PerangMelawanMitos.

Banyak pertanyaan kesihatan itu berkisarkan kepada kepercayaan lama yang turun dari zaman berzaman.

Sebelum ini rakyat Malaysia dan orang Melayu khasnya memang menurut kepercayaan lama dan pantang larang yang tidak diketahui siapa yang memulainya.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penulis, Dr Sazwan Reezal Shamsuddin, ramai pakar dan pegawai perubatan terlibat di dalam penulisan buku itu kerana masing-masing mempunyai kredibiliti tersendiri dalam bidang masing-masing.

"Ini memastikan informasi yang tepat dan betul sahaja diterima oleh pembaca. Ia mengumpulkan hasil nukilan ahli-ahli Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (Medical Tweet Malaysia MedTweetMy) yang terdiri daripada pelbagai bidang kesihatan.

"Buku Perang Melawan Mitos merungkai penerangan di sebalik setiap pertanyaan seperti adakan mandi malam menyebabkan paru-paru berair? Adakah betul tindakan meletakkan ubat gigi di kulit yang melecur? Adakah herd immunity setelah divaksinkan kanak-kanak itu agenda Yahudi? Betulkah apabila terkena angin ahmar (stroke) maka kita perlu titiskan darah di jari mangsa?

"Buku Perang Melawan Mitos ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil serius setiap tip kesihatan yang diterima mereka," jelasnya.

Katanya lagi, ia merupakan langkah awal untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas sekali gus menepis panduan yang tidak tepat, salah atau sekadar mitos oleh mereka yang bukan pakar yang menimbulkan stigma, komplikasi penyakit bahkan menyebabkan kematian.

Jelasnya, buku itu ditulis supaya rakyat faham ada kepercayaan lama nenek moyang kita ini yang tiada asas dan kadangkala boleh menyebabkan natijah yang kurang baik kepada pesakit.

"Bahasa yang digunakan adalah mudah serta mengelakkan istilah perubatan yang sukar difahami.

"Ilustrasi penuh warna warni juga bukan sahaja menarik perhatian tetapi juga membantu pembaca memahami penerangan tentang subjek yang dibincangkan," ujarnya.

Antara 36 penulis yang menghasilkan 62 artikel di dalam buku itu ialah Dr Khairul Hafidz Alkhair, Dr Anwar Fazal Abu Bakar, Dr Beni Rusani, Dr Rafidah Abdullah, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, Dr Mahyuddin Mohamed, Suhazeli Abdullah dan Jazlina Shahrul.