Selepas mendapati raja ikan sungai mempunyai nilai perubatan yang tinggi, seorang doktor perubatan di klinik swasta melaburkan hampir RM1 juta dalam penternakan ikan kelah dan ikan kap.

Ikan kelah bukan sahaja mahal harganya bahkan turut mempunyai nilai perubatan, kandungan kolagen yang tinggi dan kulitnya boleh dijadikan tampalan untuk penghidap kencing manis.

Atas alasan itu, Prof Dr Ab Aziz Al Safi Ismail berkata, beliau melabur RM800,000 bagi menternak 10,000 ekor anak ikan kelah di kolam seluas 278.7 meter persegi dalam kawasan rumahnya.

“Idea tercetus apabila saya dapati penghidap kencing manis mengalami masalah luka, atau gangren, yang susah hendak sembuh. Jadi, salah satu cara ialah dengan menampal.

“Dahulu, kita gunakan tampalan kulit. Tetapi, cara ini pun tak bagus untuk orang yang kencing manis. Salah satu cara lain, gunakan kulit ikan," katanya.

Beliau memulakan ternakan ikan kelah dan kap ini pada Mac 2018 selepas kajian mendapati ikan berkenaan berpotensi besar dalam bidang bio-perubatan.

Pemeliharaan ikan kelah juga sebagai satu terapi, mengindahkan kawasan serta mengekalkan persekitaran bersih. Foto Astro AWANI

Selepas bertahun lamanya berdepan dengan pesakit kencing manis di kliniknya, Dr Ab Aziz mulai mencari kaedah perubatan alternatif sehingga menemui khasiat yang tinggi pada ikan kelah.

"Sebelum ini, guna ikan tilapia, tetapi kualitinya tidak bagus. Saya tengok, yang paling banyak kolagen ialah ikan kelah, dan matlamatnya ialah, kita hendak hasilkan bio-perubatan.

"Sisik ikan kelah menghasilkan kolagen yang terbaik, dan tulang serta isinya boleh meningkatkan rangsangan seks, lebih dari Viagra,” katanya.

Menurutnya, tempoh matang ikan kelah ialah 30 bulan sebelum boleh dipasarkan dengan harga RM180 sehingga RM400 bagi setiap kilogram.

Dr Ab Aziz menternak 10,000 ekor anak ikan kelah di dalam kolam seluas 278.7m persegi dalam kawasan rumahnya. - Foto Astro AWANI

Ikan kelah turut mendapat permintaan tinggi dari Singapura dan pasaran luar negara.

Ikan kelah memerlukan persekitaran bersih, air bersih dan makanan berasaskan buah seperti jagung dan labu.

Pemeliharaan ikan kelah dalam kawasan rumah, selain kerana perubatan, juga sebagai sesi terapi, mengindahkan kawasan serta mengekalkan persekitaran bersih dan sebagai ikan hiasan dalam kolam.