Tutup

Doktor melecur 30 peratus dirawat di ICU Hospital Pulau Pinang

Doktor melecur 30 peratus dirawat di ICU Hospital Pulau Pinang
Doktor berkenaan dikejarkan untuk mendapat rawatan susulan insiden yang berlaku di bilik hospitalnya semalam. - BERNAMA
GEORGE TOWN: Seorang doktor yang melecur hampir 30 peratus bahagian badannya apabila biliknya dibakar seorang lelaki di sebuah hospital swasta di Jelutong, Pulau Pinang semalam, kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, seorang jururawat dan seorang pesakit warga Taiwan yang turut cedera dalam insiden berkenaan, masih sedang menerima rawatan di hospital swasta tersebut.
Katanya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mengulas kejadian semalam, Che Zaimani berkata, suspek yang berusia 30-an telah bertindak menyimbah sebotol minyak petrol ke arah doktor berkenaan sehingga menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.
Suspek bagaimanapun sempat menyalakan pemetik api yang dibawanya, menyebabkan berlakunya kebakaran sekaligus mengakibatkan doktor terbabit dan seorang jururawat serta seorang pesakit yang  berada di dalam bilik berkenaan mengalami kecederaan.

Katanya, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, doktor berusia 50-an itu melecur 30 peratus di bahagian badan manakala jururawat berusia 30-an melecur lima peratus di bahagian muka dan badan.

Kebakaran berjaya dipadamkan melalui sistem 'sprinkler' secara automatik yang terdapat di bilik berkenaan sebelum pasukan Bomba tiba.

Siasatan mendapati, suspek yang beralamat di Mount Erskine, George Town itu pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental di Hospital Pulau Pinang.

Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.