Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berazam akan bekerjasama dengan semua agensi dan kementerian termasuk sektor swasta bagi memastikan Malaysia menerajui sistem penjagaan kesihatan.

Dalam satu balasan di laman Twitternya, Dr Jemilah berkata, pelantikannya sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, merupakan satu tanggungjawab besar dan beliau turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Thank you very much for the trust.(Terima kasih banyak-banyak di atas kepercayaan yang diberikan).

"I will do my very best to support all ministries, agencies and organisations including private sector and civil society so that #Malaysia will lead in healthcare. But first let's tackle #COVID19 together, (Saya akan lakukan yang terbaik untuk menyokong semua kementerian, agensi dan organisasi termasuk sektor swasta dan masyarakat madani supaya #Malaysia mendahului dalam penjagaan kesihatan. Tetapi marilah kita tangani #COVID19 dahulu, bersama-sama), " katanya.

BACA: Dr Jemilah dilantik Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada PM

Terdahulu pada Selasa, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Dr Jemilah sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam.

Dr Jemilah berpengalaman luas dalam bidang perubatan dan terlibat secara langsung dalam kerja-kerja kemanusiaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau sebelum ini merupakan Presiden Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dan Setiausaha Bahagian Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

Beliau dipilih sebagai pemenang ASEAN Prize 2019 iaitu anugerah berprestij rantau ASEAN bagi mengiktiraf pencapaian individu atau organisasi dalam memupuk identiti dan semangat serantau ke arah pembangunan Komuniti ASEAN menjelang 2025.

Dr Jemilah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

- BERNAMA