Pengasas MERCY Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dinobat sebagai pemenang bagi ASEAN Prize 2019 pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Bangkok, Thailand pada Ahad.

Dr Jemilah yang merupakan warganegara Malaysia pertama menerima hadiah ini dipilih berdasarkan kepada sumbangan beliau terhadap bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di rantau ASEAN.

Selain piala, Dr Jemilah turut menerima wang tunai sebanyak AS$20,000 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.


ASEAN Prize merupakan anugerah berprestij rantau ASEAN sebagai mengiktiraf pencapaian individu atau organisasi dalam memupuk identiti dan semangat ASEAN ke arah pembangunan Komuniti ASEAN menjelang tahun 2025.

Pada tahun 2018, ASEAN Prize yang pertama telah dianugerahkan kepada Puan Erlinda Uy Koe dari Filipina selaku bekas Pengerusi ASEAN Autism Network (AAN) sebagai pengiktirafan di atas sumbangan beliau terhadap komuniti autisme di rantau ASEAN.

Dr Jemilah yang juga merupakan Penolong Setiausaha Agung Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) dipilih di atas sumbangan antaranya menstransformasi bahagian kerjasama IFRC bagi memastikan prestasi terbaik, selain membangunkan dasar inovasi IFRC bagi tujuan misi kemanusiaan dan keamanan terbaik.

Sebelum menyertai IFRC, Dr Jemilah merupakan Ketua Skreatariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) New York.

Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau termasuk Ketua Bahagian Tindakan Kemanusiaan UNFPA, Felo Kanan di Khazanah Nasional Berhad, Bahagian Strategi Pelaburan dan Kajian Khazanah serta Felo Pelawat Penyelidik Kanan di Program Masa Depan Kemanusiaan di Kings College London.

Pada 2006, beliau merupakan 16 ahli yang dilantik Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon untuk menyertai Kumpulan Penasihat Dana Tindakan Kecemasan Pusat.

Dr Jemilah juga memegang beberapa jawatan dalam lembaga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat tempatan dan antarabangsa serta memenangi beberapa anugerah antarabangsa di atas sumbangan beliau terhadap masyarakat sivil dan tertindas.

Antara anugerah yang pernah dimenangi beliau termasuk Anugerah Isa bagi Kemanusiaan pada Mei 2013 selain Anugerah Merdeka 2015.

Dr Jemilah merupakan doktor perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan memegang Ijazah Falsafah Obstetrik & Ginekologi.